Pacuan empat roda terbalik, penyeludup lari tinggalkan 628kg daun ketum

Penyeludup melarikan diri selepas pacuan empat roda muatan daun ketum dan sebuah motosikal dinaiki mereka terbalik di Padang Terap pada Jumaat. Foto Tentera Darat Malaysia
Penyeludup melarikan diri selepas pacuan empat roda muatan daun ketum dan sebuah motosikal dinaiki mereka terbalik di Padang Terap pada Jumaat. Foto Tentera Darat Malaysia
A
A
A

PADANG TERAP - Sebanyak 628 kilogram (kg) daun ketum ditinggalkan penyeludup selepas pacuan empat roda dan sebuah motosikal dinaiki mereka terbalik dipercayai hilang kawalan ketika cuba melarikan diri di sempadan Malaysia-Thailand di sini, pada petang Jumaat.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataan memaklumkan, beberapa suspek bertindak melarikan diri selepas dikejar pasukan operasinya dalam kejadian jam 3.30 petang di sektor Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia (KTJ 6 Bgd).

“Pasukan operasi berjaya mengesan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang diiringi beberapa motosikal dalam keadaan mencurigakan melalui laluan di sempadan sebelah Malaysia.

“Pasukan operasi bertindak mengejar kesemua kenderaan tersebut dan mendapati terdapat sebuah pacuan empat roda dan sebuah motosikal telah terbalik dipercayai hilang kawalan dan suspek berjaya melarikan diri,” kata kenyataan itu pada Sabtu.

Menurut kenyataan itu, hasil pemeriksaan terhadap kenderaan dan motosikal itu menemui sembilan guni putih dan 33 plastik hitam yang berisi daun ketum dengan jumlah berat keseluruhan sebanyak 628kg bernilai RM18,840.

"Semua daun ketum tersebut dipercayai cuba dibawa keluar dari Malaysia ke Thailand melalui laluan tidak sah.

“Satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Kuala Nerang, Padang Terap dan kesemua barang rampasan telah diserahkan kepada pihak Polis Kuala Nerang untuk tindakan selanjutnya.

“Anggaran keseluruhan nilai rampasan daun ketum termasuk sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan sebuah motosikal jenis Honda Wave 110i berjumlah sebanyak RM 81,340,” kata kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Tambah kenyataan itu, Tentera Darat Malaysia akan terus komited bagi memastikan keselamatan di sempadan negara dan tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan dan penyeludupan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!