'Anak-anak GISBH gembira diberikan biskut, roti berkrim'

Mohammad Fahmi (tengah) menyampaikan anugerah kecemerlangan kepada salah seorang pelajar pada Majlis Konvokesyen Kolej Hafiz ke-21 pada Sabtu.
Mohammad Fahmi (tengah) menyampaikan anugerah kecemerlangan kepada salah seorang pelajar pada Majlis Konvokesyen Kolej Hafiz ke-21 pada Sabtu.
A
A
A

KLANG - Kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) teruja diberikan biskut dan roti berkrim kerana sebelum ini hanya menikmati biskut kering.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, anak-anak ini juga sebelum ini tidak bergaul dengan masyarakat luar hingga ada tidak mengenali bangsa lain selain Melayu.

Menurutnya, lebih membimbangkan soal akidah anak-anak tersebut yang mempunyai rukun iman ketujuh iaitu berkat Abuya.

"Kita duduk selesa tetapi ada anak-anak ini yang apabila diberikan biskut Oreo dan roti Gardenia berkrim, mereka pegang sampai ke malam.

"Apabila ditanya, mereka jawab tak pernah rasa roti atau biskut yang ada krim, maknanya selama ini dia hanya makan biskut kering," katanya berucap pada Majlis Konvokesyen Kolej Hafiz ke-21 di sini pada Sabtu.

Mohammad Fahmi
Mohammad Fahmi

Katanya, waktu lapang kanak-kanak ini turut diisi dengan menonton video berkaitan militan melalui sumber diperoleh daripada maklumat polis.

Artikel Berkaitan:

Mohammad Fahmi meluahkan kebimbangan fahaman yang salah dalam konsep jihad di peringkat akar umbi boleh membawa ancaman bahaya kepada masyarakat.

"Mereka pintar, pandai mengaji, mengeja dan mengira, tetapi ajaran diberikan kepada mereka bukan konsep jihad yang betul.

"Islam sebenar mengajar jangan usik rumah ibadat walaupun berlainan agama, jangan tebang pokok atau hancurkan bangunan, ambil sekadar ikut keperluan.

"Selain itu, jika ada anak dan wanita maka perlu dilindungi serta jangan lakukan kerosakan dan keganasan.

"Itulah protokal jihad sebenar bukan seperti di sesetengah negara besar, mereka jadi kuat sebab bunuh kanak-kanak dan wanita, kita tak mahu jadi seperti itu," katanya.

Justeru katanya, kanak-kanak ini akan akan menjalani pemulihan bukan hanya membabitkan akidah tetapi juga akan dipantau dari sudut psikologi serta perkembangan tumbesaran.

Ujar beliau, mesyuarat pertama pasukan petugas pemulihan kanak-kanak GISBH pada Jumaat telah membentuk enam kumpulan kerja terdiri pegawai MAIS dan JAIS serta pakar lain termasuk bidang psikologi.

"Kerajaan negeri perlu lihat isu ini secara holistik, bukan sekadar mahu betulkan akidah dan rukun Iman mereka, tetapi juga soal emosi dan psikologi serta tahap nutrisi kerana ada antaranya bentuk badan seperti umur 7 tahun walaupun sebenarnya sudah 10 tahun.

"Ini tanggungjawab besar dan berat kerana bukan hanya lihat semasa di proses pemulihan sahaja tetapi langkah seterusnya selepas itu.

"Inilah cabaran kedepan yang kerajaan perlu selesaikan kerana anak-anak ini walaupun hanya 435 orang tetapi merupakan aset bernilai negeri sama seperti hafiz serta hafizah yang dilahirkan di Selangor," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!