Lapan kilang e-waste haram ditutup, 22 lagi dalam siasatan - JAS

Wan Abdul Latiff pada Karnival Jom E-Waste 2024 sempena Hari E-Waste Antarabangsa yang bertempat AEON AU2, di sini pada Sabtu. Foto Sinar Harian
Wan Abdul Latiff pada Karnival Jom E-Waste 2024 sempena Hari E-Waste Antarabangsa yang bertempat AEON AU2, di sini pada Sabtu. Foto Sinar Harian
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Sebanyak lapan kilang e-waste haram ditutup, manakala 22 lagi dalam siasatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) setakat September lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, operasi penggempuran di lima kilang e-waste haram pada Ogos lalu membuahkan hasil positif dan mendapat perhatian semua pihak.

Menurut beliau, pihaknya akan terus melakukan penggempuran bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membendung operasi haram tersebut, lebih-lebih lagi e-waste yang datang dari luar nagara.

“Sudah tentu kita akan memperkasakan penguatkuasaan bersama PDRM dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Pertama sekali, kita nak sekat kemasukan e-waste secara haram di pelabuhan dan apabila dah masuk, mereka menghantarnya ke kilang-kilang haram pula.

“Dua perkara yang disebutkan menjadi fokus utama JAS buat masa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media Karnival Jom E-Waste 2024 sempena Hari E-Waste Antarabangsa yang bertempat AEON AU2, di sini pada Sabtu.

Sebelum ini, pendedahan Sinar Harian pada 5 Ogos mengenai operasi memproses e-waste secara haram di Segamat, Johor membawa kepada tindakan tegas pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

Rentetan daripada laporan terbabit, lima premis e-waste haram diserbu pasukan AMLA PDRM khususnya di kawasan Salong, Pekan dan Bukit Ibam di Pahang; Kuang, Rawang dan Bukit Tagar di Selangor; Rembau dan Gemencheh, Negeri Sembilan serta Simpang Renggam, Johor.

Wan Abdul Latiff memaklumkan, tindakan menghentikan operasi menerusi Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) telah diambil ke atas lima kilang e-waste berkenaan mengikut Seksyen 38 (1) (a) Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974.

Sementara itu, beliau memaklumkan, pihaknya juga sedang menjalankan Kajian Kebolehlaksanaan Ekonomi Kitaran untuk Pengurusan Buangan Terjadual di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dengan memfokuskan 10 kod di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

Katanya, model ekonomi kitaran tersebut bertujuan mengurangkan pelupusan buangan terjadual ke tapak pelupusan selamat di samping meningkatkan produktiviti industri kitar semula di negara ini.

Tambah beliau lagi, ia sejajar hierarki pengurusan buangan daripada ‘cradle to grave’ kepada ‘cradle to cradle’.

“Mekanisme pengurusan e-waste yang diperkenalkan pada 2021 telah melaksanakan lebih 1,161 program pengumpulan sehingga Ogos 2024 dan 2,123 tan metrik e-waste berjaya dikumpulkan.

“Bagaimanapun, pemerkasaan berhubung kepentingan mengurus e-waste masih rendah berbanding anggaran penjanaannya yang dijangka mencecah 285,000 tan metrik bersamaan 24.5 juta unit menjelang 2025.

“Justeru, kempen kesedaran pengurusan e-waste perlu dijalankan secara berterusan agar masyarakat lebih peka dan cakna terhadap mekanisme sisa buangan ini,” ujar beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!