PATI miliki, pandu kenderaan antara ditahan di Ketereh

JPJ menahan PATI yang menunggang motosikal di satu lokasi di Ketereh. Foto JIM Kelantan
JPJ menahan PATI yang menunggang motosikal di satu lokasi di Ketereh. Foto JIM Kelantan
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Imigresen Malaysia Kelantan menahan 36 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu operasi di sekitar Ketereh Khamis lepas.

Timbalan Pengarah Imigresen negeri Kelantan (Pengurusan), Nik Akhtarulhaq Nik Abdul Rahman berkata, operasi pada jam 6 petang itu membabitkan pemeriksaan di sebuah kedai di Kampung Chenderong Beta, sebuah premis di Kampung Kubang Tin, sebuah asrama di Kedai Mulong dan beberapa kediaman di sekitar Melor.

PATI ditahan di sebuah kediaman di Ketereh. Foto JIM Kelantan
PATI ditahan di sebuah kediaman di Ketereh. Foto JIM Kelantan

Beliau berkata, PATI yang ditahan ialah 26 warga Myanmar termasuk tujuh wanita, enam lelaki warga Bangladesh, tiga lelaki warga Kemboja dan seorang lelaki warga Indonesia.

"Hasil pemeriksaan mendapati kebanyakan mereka memiliki serta memandu kenderaan tanpa lesen yang sah," katanya melalui kenyataan pada Sabtu.

Menurut Nik Akhtarulhaq, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut menyita kenderaan yang dimiliki dan digunakan oleh PATI terbabit.

Jelas beliau, kesemua warga asing ditahan di Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Operasi bersepadu dilakukan dengan kerjasama 58 pegawai dan anggota daripada JPJ dan Majlis Daerah Ketereh.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat atau sebarang aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang negara.

"Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mendalangi, memudah cara dan bersubahat melindungi PATI," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!