PPIM tolak pindaan RUU kawalan penyakit berjangkit

PPIM tolak pindaan RUU itu kerana bimbang terhadap hak asasi dan potensi penyalahgunaan kuasa oleh pihak tidak bertanggungjawab. - Gambar hiasan 123RF
PPIM tolak pindaan RUU itu kerana bimbang terhadap hak asasi dan potensi penyalahgunaan kuasa oleh pihak tidak bertanggungjawab. - Gambar hiasan 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menolak pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2024.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, penolakan itu berasaskan kebimbangan terhadap hak asasi dan potensi penyalahgunaan kuasa oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Antara pindaan utama dilihat sangat tidak relevan ialah berkaitan kuasa pegawai.

“Seksyen 14A memperuntukkan klausa itu memberi kuasa kepada pegawai menggunakan kekerasan bagi memastikan perintahnya dipatuhi walaupun hanya dengan syak sahaja," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pada 15 Julai lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membentangkan Rang Undang-Undang Perubatan (Pindaan) 2024 untuk meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Rang undang-undang yang mengandungi 14 Fasal itu antaranya bagi memastikan setiap pengamal perubatan yang mempunyai sebab untuk percaya atau mengesyaki wujudnya apa-apa penyakit berjangkit, memberikan notis dalam apa sahaja cara, sepertimana ditentukan ketua pengarah.

Pindaan juga bertujuan memasukkan seksyen baharu 14A ke dalam Akta 342 untuk membolehkan seseorang pegawai diberi kuasa memerintahkan mana-mana orang yang dijangkiti sesuatu penyakit berjangkit menjalani pengasingan atau pengawasan.

Mengulas lanjut, Nadzim berkata, pihaknya mendapati seksyen baharu iaitu 15A pula memberi kuasa kepada pegawai untuk memerintahkan individu yang dijangkiti atau disyaki dijangkiti serta kontak rapat untuk menggunakan peranti pengesanan.

Artikel Berkaitan:

“Perkara ini jelas melanggar hak asasi seseorang. PPIM melihat ia meningkatkan kuasa dan autoriti serta memberi kuasa penuh kepada Ketua Pengarah Kesihatan.

“Selain itu, denda maksimum untuk individu yang melanggar undang-undang ini meningkat daripada RM1,000 kepada RM5,000.

“PPIM berpendapat perubahan pada kompaun dan penalti itu tinggi membebankan rakyat,” ujarnya.

Tambah Nadzim lagi, RUU itu akan membuka risiko penyalahgunaan kuasa yang luas kepada Ketua Pengarah KKM dan jenayah rasuah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!