[VIDEO] PM dijangka rasmi Program Madani Rakyat di Sabah

A
A
A

KOTA KINABALU - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka merasmikan Program Madani Rakyat (PMR) Sayangi Sabah yang julung kali diadakan di Sabah pada 18 hingga 20 Oktober ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, program yang akan diadakan di pekarangan Kompleks Sukan Likas itu nanti adalah kesinambungan kepada Program Setahun Bersama Kerajaan Madani yang diadakan Kuala Lumpur.

Menurutnya, sasaran kehadiran orang ramai akan mengatasi jumlah PMR di Sarawak iaitu mencecah 300,000 lebih pengunjung.

"Mengambil kira sambutan orang ramai terhadap penganjuran tersebut, pelaksanaannya diteruskan sepanjang tahun ini ke peringkat negeri mengikut zon iaitu di Perlis, Pahang, Johor, Sarawak dan kali ini di Sabah.

"Kita difahamkan setakat ini yang PMR yang tertinggi jumlah kunjungannya adalah di Sarawak, jadi kita berharap orang kita di Sabah dapat mengalahkan jumlab itu paling kurang kita akan dapat mencecah 400,000 pengunjung," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melakukan tinjauan persiapan penganjuran program itu di pekarangan Kompleks Sukan Likas, di sini pada Sabtu.

Armizan berkata, pelbagai aktiviti akan dilaksanakan sepanjang tiga hari program berlangsung yang melibatkan agensi kerajaan termasuk kementeriannya sendiri dan institusi swasta serta ruangan untuk usahawan.

Tambah beliau, siri PMR di Sabah kali ini melibatkan kolaborasi tiga komponen utama iaitu Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (Pacu) Jabatan Perdana Menteri, KPDN selaku kementerian peneraju dan kerajaan negeri Sabah.

Artikel Berkaitan:

"PMR di Sabah ini akan menawarkan pelbagai aktiviti menarik menerusi pengisian reruai daripada pelbagai kementerian kerajaan Persekutuan dan negeri, perkhidmatan Touch Point Rakyat, pameran aset agensi kerajaan, karnival kerjaya, sesi libat urus dan aktiviti luar termasuk pertandingan sukan elektronik serta Konsert Sayangi Sabah.

"KPDN selaku kementerian peneraju turut menyediakan pelbagai aktiviti utama antaranya Program Jualan Rahmah Madani (PJRM), Kempen Beli Barangan Malaysia, Pavilion pameran KPDN dan sebagainya," katanya.

Sehubungan itu, orang ramai digalakkan menghadiri program tersebut dan inisiatif pengangkutan juga akan disediakan di bawah kendalian kerajaan negeri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!