RM1.4 juta wang tunai dirampas, 6 ditahan dalam Operasi Jenayah Rentas Sempadan

Wang tunai RM1.4 juta dirampas dalam serbuan Operasi Jenayah Rentas Sempadan Tawau yang dikordinasikan ESSCOM.
Wang tunai RM1.4 juta dirampas dalam serbuan Operasi Jenayah Rentas Sempadan Tawau yang dikordinasikan ESSCOM.
A
A
A

TAWAU - Sebanyak RM1.4 juta wang tunai dirampas dalam Operasi Jenayah Rentas Sempadan Tawau yang dikordinasikan pasukan Khas Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) pada Jumaat.

Dalam serbuan itu, enam individu berusia 40 hingga 47 tahun turut ditahan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Komander Datuk Victor Sanjos berkata, operasi yang turut dikordinasikan bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman.

"Objektif utama operasi adalah untuk menjamin keselamatan dan memelihara ketenteraman awam di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone) selain bertujuan membanteras penyeludupan barang tidak bercukai secara menyeluruh sehingga ke akar umbi.

"Dalam serbuan ini, wang tunai berjumlah RM1,412,932 bersama beberapa peralatan dirampas dan kesemua individu ditahan untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Victor berkata, ESSCOM komited dalam membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan terutama di ESSZone bagi menyokong pembangunan dan pengukuhan sosioekonomi masyarakat di negara ini.

"ESSCOM akan terus memperhebatkan operasi bersepadu seumpama ini ke daerah-daerah ESSZone bagi mengekang mana-mana elemen jenayah rentas sempadan yang boleh menggugat keselamatan dan kesejahteraan awam di pantai Timur Sabah," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di ESSZone ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau melalui aplikasi WhatsApp di talian 011-63311072.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!