Koronavirus: Hospital di Wuhan kurang katil, alat perubatan

Kakitangan perubatan menyediakan katil untuk menerima pesakit menunjukkan simptom sederhana koronavirus di pusat pameran yang dijadikan pusat perubatan sementara di Wuhan. - Foto AFP
Kakitangan perubatan menyediakan katil untuk menerima pesakit menunjukkan simptom sederhana koronavirus di pusat pameran yang dijadikan pusat perubatan sementara di Wuhan. - Foto AFP
A
A
A

BEIJING - Bandar Wuhan di wilayah Hubei yang mempunyai 11 juta populasi penduduk dan dikuarantin sejak 23 Januari lalu dilaporkan berdepan kekurangan katil untuk menampung jumlah pesakit yang semakin bertambah pada setiap hari.

Pegawai kanan di Wuhan, Hu Lishan berkata, kira-kira 8,182 pesakit dimasukkan ke 28 hospital yang dilengkapi 8,254 katil.

"Kami juga berdepan kekurangan peralatan dan kelengkapan perubatan," ujarnya.

Terdahulu, kerajaan Pusat telah mengumumkan langkah bertujuan untuk memastikan bekalan perubatan penting yang diperlukan untuk memerangi epidemik tersebut mencukupi.

Wuhan dijangka membuka 11 lagi hospital koronavirus selepas sukarelawan menukar dewan sukan dan pusat pameran sebagai pusat perubatan sementara.

Kemudahan tersebut akan dilengkapi lebih 10,700 katil dan menerima pesakit koronavirus dan kes tidak serius.

Hospital ketiga koronavirus, Leishenshan atau Thunder God Hospital dilengkapi 1,600 katil siap dibina dan mula menerima kumpulan pesakit pertama kelmarin.

Semalam, syarikat urutan genom, BGI Group berpusat di selatan China memaklumkan mereka telah membuka sebuah makmal di Wuhan untuk membolehkan langkah pemeriksaan ke atas 10,000 individu sehari. - AFP

ARTIKEL BERKAITAN: Koronavirus: Hospital baharu Wuhan mula terima pesakit

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!