Fatwa bawah RUU Mufti (WP) 2024 hanya untuk orang Islam - Mohd Na'im
KUALA LUMPUR - Fatwa yang diwartakan di bawah Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 adalah hanya mengikat orang Islam serta terhad di bawah bidang kuasa negeri, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Mohd Na’im berkata demikian bagi menjelaskan kekeliruan dan salah faham mengenai dakwaan penggubalan RUU itu akan menggugat kebebasan rakyat di negara ini.
"Perlu difahami bahawa sesuatu fatwa yang diwartakan di bawah RUU Mufti ini adalah mengikat orang Islam sahaja serta terhad di bawah bidang kuasa negeri selaras dengan butiran 1 Senarai II-Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
"Sebelum fatwa itu boleh mengikat, ia perlu diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Majlis Agama Islam terlebih dahulu. Dalam pada itu, fatwa juga tidak boleh bercanggah dengan mana-mana undang-undang bertulis,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di laman Facebooknya pada Ahad.
Beliau berkata, RUU Mufti itu bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubungan dengan Mufti, penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin syarak serta perkara yang berkaitan di Wilayah Persekutuan (WP) sahaja.
"RUU ini memperuntukkan sembilan bahagian iaitu bahagian permulaan, Mufti dan Timbalan Mufti, Jawatankuasa Fatwa, pengeluaran fatwa, penentuan kiblat, Jawatankuasa Falak Syarie, Jawatankuasa Rukyah Hilal, Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam dan perunding akidah dan pelbagai,” katanya.
Mohd Na’im berkata, penggubalan RUU itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan dalam memartabatkan sistem perundangan dan kehakiman bagi undang-undang diri orang Islam, seterusnya menjamin hak-hak keadilan kepada umat Islam di Malaysia.
"Menerusi RUU Mufti, pengasingan kuasa antara Jabatan Agama Islam, Mufti dan Mahkamah Syariah akan kelihatan lebih jelas. Pentadbiran keadilan di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Hukum Syarak di bawah bidang kuasa Mufti akan ditadbir oleh Akta berasingan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, hak kebebasan individu di negara ini tetap terjamin di bawah Perlembagaan Persekutuan, walaupun ia tidak bersifat mutlak dan terbatas oleh peruntukan tertentu seperti Perkara 8(5)(a), 10, dan 11(5).
"Sebagai contoh, hak kebebasan beragama di bawah Perkara 11 Perlembagaan ialah untuk hidup beragama, bukanlah hidup tidak beragama. Hak kebebasan beragama bagi orang Islam ialah kebebasan untuk mengamalkan ajaran agama yang sebenar seperti ditentukan oleh ulil amri atau ketua agama.
"Dalam penentuan ajaran agama Islam yang sebenar, maka ia hendaklah berlandaskan Hukum Syarak. Mufti Wilayah Persekutuan hanya bertanggungjawab menentukan persoalan hukum syarak yang menyentuh undang-undang diri bagi orang Islam di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya,” katanya.
Sementara itu, Mohd Na’im berkata, penggubalan undang-undang yang bersifat pengawalan adalah ciri negara berdaulat dengan tiada individu bebas melanggar prinsip perlembagaan, selain sekatan kebebasan seseorang tidak bermaksud hak asasi dilanggar kerana keabsahan hak asasi ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan.
"Sebagai contoh, fatwa mengenai amalan ajaran agama Islam yang sesuai mengikut keadaan tempatan serta larangan ikutan terhadap ajaran, pegangan dan fahaman yang sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar,” katanya.
Oleh itu, beliau menyeru semua pihak supaya tidak menimbulkan keraguan dalam kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam yang mengakibatkan tafsiran yang salah terhadap RUU Mufti itu kerana ia akan menghalang usaha murni kerajaan bagi mengukuhkan pentadbiran Islam di negara.
"Kita seharusnya menghormati fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti kerana Mufti adalah pihak berkuasa yang berautoriti untuk memberi nasihat tentang Hukum Syarak sebagaimana diperuntukkan di bawah seksyen 33 Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) (Fasal 4 RUU Mufti).
"Saya ingin mengajak seluruh umat Islam memberi sokongan terhadap penggubalan RUU Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024,” katanya.
Semalam, media melaporkan Mohd Na’im mengesahkan bahawa RUU Mufti akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua dan ketiga pada sidang Parlimen yang bermula 14 Okt ini. - Bernama
_____________________________________________________________________
Rang Undang-Undang Mufti pastikan punca bidang kuasa lebih teratur - Fahmi
KUALA LUMPUR - Rang Undang-Undang Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan 2024) yang bakal dibentang pada sidang Parlimen akan datang tidak akan memperluas dan meningkatkan kuasa mufti.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, ia sebaliknya bagi memastikan punca bidang kuasa mufti lebih teratur serta jelas tanpa ada pertikaian berhubung tindakan yang dilakukan oleh mereka.
Beliau berkata, rang undang-undang itu juga bagi membolehkan jawatan mufti mempunyai lebih ketertiban dan keteraturan daripada segi Perlembagaan serta undang-undang negara.
"Saya juga telah dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar bahawa hampir semua fasal dan perkara yang terkandung dalam rang undang-undang itu hampir sama seperti Enakmen Fatwa Negeri Sabah berhubung mufti di negeri itu yang diluluskan pada 2004.
"Bermaksud Sabah sudah memiliki undang-undang serupa selama lebih 20 tahun. Sabah tak ada berubah dari segi amalan ataupun kebebasan beragama, bagi yang bukan Islam kita lihat acara ataupun pesta dan keraian seperti Pesta Kaamatan masih dijalankan,” katanya selepas menghadiri Program Kesihatan Lembah Pantai bersama IMU Cares di sini pada Sabtu.
Sebelum ini, Mohd Na'im Mokhtar berkata, rang undang-undang itu akan dibentang untuk bacaan kedua dan ketiga dalam sidang Parlimen yang bermula pada 14 Oktober depan.
Rang Undang-Undang Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 antara lain memberi takrifan kepada Ahli Sunah Waljamaah yang sudut akidahnya bersumberkan aliran Al-Asyairah dan Al-Maturidiah.
Semalam, 14 kumpulan yang berpangkalan di Sarawak dan Sabah mendakwa rang undang-undang itu akan mengubah Malaysia menjadi sebuah negara Islam dalam sekelip mata.
Mereka juga mendakwa rang undang-undang itu melanggar Perjanjian Malaysia 1963 dan merupakan serangan secara langsung terhadap sistem sekular di negara ini.
Justeru, Fahmi meminta pihak yang mengeluarkan kenyataan negatif berhubung rang undang-undang itu agar meneliti semula sejarah undang-undang tersebut di Sabah.
"Jadi bagi mereka yang mengeluarkan tuduhan seperti ini, saya sarankan teliti balik sejarah (undang-undang ini di) Sabah yang sudah dibuat 20 tahun lalu, tiada sebarang kesan negatif.
"Sehubungan itu, jangan pandang serong dan perlu celik undang-undang. Kita mahu agama Islam bagi yang muslim bukan hanya untuk dihormati tetapi (juga) mahu dari segi undang-undang (ia) teratur,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!