Kapal Latihan Jinggang Shan 999 pernah sertai misi pencarian pesawat MH370

Hon Wai berkata, kunjungan silaturahim dua kapal latihan dari China bersama pelajar dari Naval University of China ke Pelabuhan Pulau Pinang adalah mengikut saluran rasmi. - Foto: FB Wong Hon Wai
Hon Wai berkata, kunjungan silaturahim dua kapal latihan dari China bersama pelajar dari Naval University of China ke Pelabuhan Pulau Pinang adalah mengikut saluran rasmi. - Foto: FB Wong Hon Wai
A
A
A

GEORGE TOWN - Salah sebuah kapal latihan China yang berkunjung ke Pulau Pinang iaitu Kapal Latihan Jinggang Shan 999 pernah memainkan peranan penting dalam misi pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 pada tahun 2014.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata, kapal tersebut bertolak dari pelabuhan Zhanjiang pada jam 3 pagi, 9 Mac 2014 lalu menuju ke kawasan pencarian.

Menurutnya, sepanjang 62 hari operasi pencarian, Kapal Jinggang Shan 999 telah menjelajah kawasan yang luas termasuk Teluk Thailand, Sumatera, kawasan barat daya serta barat laut Australia dengan jarak pelayaran melebihi 31,000 kilometer.

"Kunjungan silaturahim dua kapal latihan dari China bersama pelajar dari Naval University of China ke Pelabuhan Pulau Pinang adalah mengikut saluran rasmi.

"Pegawai Residen Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Pulau Pinang turut hadir dalam kunjungan atas kapal pelatih tersebut bersama pemimpin dari Kerajaan Pulau Pinang sebagai tetamu," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambahnya, dua kapal pelatih terbabit berlabuh selama tiga hari dan telah beredar menuju ke Chittagong, Bangladesh.

"Kapal-kapal tentera laut negara asing lain juga pernah berlabuh di pelabuhan Malaysia atas saluran rasmi dan mengikut protokol. Sama juga seperti dua kapal dari China ini.

"Sebagai contoh, pada 25 Februari 2019, media melaporkan lebih 20 anggota Marin Tentera Amerika Syarikat telah melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Inanam di Kota Kinabalu, Sabah.

Artikel Berkaitan:

"Mereka adalah dari USS Ashland (LSD 48) dan 31st Marine Expeditionary Unit (MEU) telah memasuki sekolah tersebut dan berinteraksi dengan pelajar selain mengadakan aktiviti bersama," katanya.

Tambahnya, hubungan Malaysia dan China adalah baik malah pemimpin negara juga telah melawat antara satu sama lain.

"Oleh itu lawatan silaturahim kapal pelatih bersama pelajar-pelajar Naval University of China perlu dilihat dari sudut positif," katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Pulau Pinang mengumumkan kedatangan 1,000 pelatih tentera laut China ke negeri ini untuk kunjungan silaturahim.

Pasukan tugas ke-83 Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) itu menaiki dua buah kapal iaitu Kapal Latihan Qi Jiguang dan Kapal JinggangShan dari Zhanjiang, China.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!