Koronavirus: Pengantin terpaksa buat majlis kahwin secara 'live-streaming'
SINGAPURA - Pasangan di Singapura yang baru pulang dari China terpaksa menyiarkan majlis perkahwinan mereka secara 'live streaming' dari bilik sebuah hotel selepas para tetamu menyuarakan kebimbangan susulan penularan koronavirus yang merebak di lebih 20 negara.
BBC melaporkan Joseph Yew dan Kang Ting dari wilayah Hunan bersempadan Hubei berkunjung ke negara tersebut yang kini terjejas wabak membawa maut itu pada 24 Januari lalu untuk menyambut Tahun Baru Cina bersama keluarga isterinya.
Menurut Yew, situasi di Hunan agak tenang memandangkan kawasan dikunjungi mereka adalah di kawasan desa.
Mereka kemudiannya kembali pada 30 Januari lalu, tiga hari sebelum majlis perkahwinan mereka diadakan di sebuah hotel di Singapura.
"Ramai tetamu berasa takut apabila mendapat tahu kami baru pulang dari China. Segelintir daripada jemputan enggan hadir. Oleh itu, kami membuat keputusan untuk mengadakan majlis tersebut menerusi sidang media. Sebahagian daripada mereka terkejut malah ibu bapa saya juga pada mulanya tidak setuju," ujar Yew.
Difahamkan, hanya 110 daripada 190 tetamu yang hadir pada majlis pasangan terbabit.
"Kami mengucapkan terima kasih kepada tetamu yang hadir. Kami agak kecewa namun tiada pilihan lain," katanya.
Difahamkan, pasangan tersebut telah berkahwin di China pada Oktober lalu dan majlis tersebut diadakan untuk ahli keluarga dan rakan Yew di Singapura.
Setakat ini, Singapura mencatatkan 28 kes jangkitan koronavirus, sekali gus menjadikan ia negara kedua tertinggi yang merekodkan kes wabak tersebut di luar China selepas Jepun. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!