[VIDEO] Pemilik bangunan runtuh hilangkan diri - Exco Melaka
MELAKA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Melaka kesal dengan tindakan pemilik bangunan yang didakwa menghilangkan diri selepas insiden kejadian bangunan runtuh hingga mengakibatkan seorang pekerja binaan maut manakala dua lagi cedera pada Jumaat.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, pemilik bangunan itu bukan sahaja belum dapat dikenal pasti, malah siasatan yang dilakukan pihak berkaitan mendapati mereka telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) tanpa membuat sebarang permohonan pembinaan.
Menurutnya, pemilik juga didakwa bertindak mengepung kawasan pembinaan itu supaya kerja-kerja pembinaan yang dilakukan secara haram tidak dapat dikesan oleh pihak berkuasa.
Katanya, bangunan itu pernah beroperasi sebagai pasar raya borong dan galeri jualan sebelum pembinaan bangunan tambahan dilakukan di bahagian belakang.
"Maklumat yang saya terima kita masih belum tahu pemilik bangunan itu jadi majlis (Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah) akan terus mencari.
"Bayangkan ia tiada proses permohonan, saya yakin polis juga akan kenal pasti individu yang bertanggungjawab dalam insiden bangunan itu," katanya kepada pemberita ketika meninjau bangunan runtuh di Jalan Bukit Senjuang di sini, pada petang Sabtu.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, R Saiful Iswandy R Hassan.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini termasuk MBMB akan terus memantau secara agresif bagi memastikan tiada lagi pembinaan haram hingga berlaku insiden meragut nyawa seperti itu.
"Kita juga meminta orang ramai bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk melaporkan pembinaan yang mencurigakan," katanya.
Sinar Harian pada Jumaat melaporkan seorang maut manakala dua pekerja binaan warga asing terselamat dalam runtuhan bangunan itu.
Dalam kejadian jam 6 petang, ketiga-tiga mangsa berusia antara 20-an hingga 40-an itu sedang membuka stagging konkrit sebelum kesemua mereka terperangkap di bawah runtuhan tersebut.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa yang maut merupakan warga Bangladesh dikenali Jidan berusia 22 tahun ditemui pada jam 9.55 malam.
Dua lagi mangsa warga Pakistan iaitu Zubair Ahmed, 32, dan Abbas Ghulam, 49, ditemui pada jam 6.40 petang dan 8.40 malam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!