Impian final Soon Huat-Shevon musnah
IMPIAN beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai untuk mara ke pentas akhir Terbuka Artik di Finland tidak kesampaian setelah tewas kepada Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dalam aksi separuh akhir sebentar tadi.
Gandingan negara yang menghuni ranking ke-10 dunia itu terpaksa akur tumpas straight set kepada pasangan dari China dalam kejohanan berstatus Super 500 berkenaan.
Dalam aksi di Vantaan Energia Arena tersebut pasangan suami itu mendahului 6-2, namun gandingan lawan yang berada di ranking ketiga dunia pantas memintas mata untuk menang permainan pertama 21-14.
Memasuki set kedua, Zhen Bang-Ya Xin terus memperagakan aksi bertenaga apabila meninggalkan Soon Huat-Shevon 11-3 sebelum mengesahkan kemenangan 21-8.
Menerusi kemenangan tersebut melebarkan jurang kemenangan pasangan dari negara Tembok Besar China itu ke atas gandingan negara kepada 6-1.
Soon Huat-Shevon sebelum ini menjuarai Terbuka Switzerland dan Masters Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!