Op Samseng Jalanan: Penjawat awam, pelajar sekolah antara tujuh ditahan

Antara yang ditahan polis dalam Op Samseng Jalanan. Foto Facebook PDRM Pulau Pinang
Antara yang ditahan polis dalam Op Samseng Jalanan. Foto Facebook PDRM Pulau Pinang
A
A
A

GEORGE TOWN - Polis Pulau Pinang menahan tujuh penunggang motosikal termasuk seorang penjawat awam dan tiga pelajar sekolah dalam Op Samseng Jalanan, yang dijalankan di Lebuhraya Tun Dr Lim Choong Eu berhampiran Seagat, daerah Barat Daya, dekat sini awal pagi Sabtu.

Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Pulau Pinang dalam laman Facebooknya memaklumkan pihaknya menjalankan operasi itu bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, bermula 11 malam semalam hingga 10 pagi hari ini.

"Dalam operasi yang dijalankan itu, pihak JSPT Kontinjen Pulau Pinang telah menahan tujuh penunggang motosikal yang kesemuanya lelaki berusia belasan tahun hingga 20-an di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan menyita dua motosikal di bawah Seksyen 64(1) APJ 1987.

"Polis turut mengeluarkan 21 saman kerana pelbagai kesalahan trafik, manakala pihak JPJ pula telah menyita dua motosikal di bawah Seksyen 64(1) APJ 1987 dan 17 saman telah dikeluarkan,” menurut hantaran itu.

JSPT Kontinjen Pulau Pinang memaklumkan akan terus mempergiatkan operasi samseng jalanan di lokasi yang telah dikenal pasti di sekitar negeri itu dan menasihatkan pengguna jalan raya agar tidak melibatkan diri dengan kegiatan lumba haram. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!