Hadiahkan tudung baru buat arwah isteri
KAMPAR - Wanita yang maut dalam nahas sebuah lori muatan ais dan treler dekat Kampung Pulai, Gopeng pada Sabtu sempat menyambut ulang tahun kelahirannya bersama suami, sehari sebelum kejadian.
Suami mangsa, Syed Mohamad Asyraf Syed Shamsuddin, 24, berkata, pada malam sambutan itu, isteri, Suhaili Abdul Razak, 28, kelihatan ceria dan gembira terutama ketika menerima hadiah yang diberikannya.
"Saya hadiahkan dua tudung baru kepada arwah isteri. Walaupun hanya tudung, tetapi dia begitu hargai dan gembira," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampar di sini.
Dalam kejadian sekitar jam 5 pagi itu, Suhaili yang duduk di bahagian penumpang hadapan lori disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit.
Kejadian dipercayai berlaku apabila lori muatan ais dipandu Syed Mohamad Asyraf hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang sebuah treler.
Syed Mohamad Asyraf yang mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan kanan memberitahu, arwah isterinya memang sering menemaninya menghantar bekalan ais terutama pada cuti hujung minggu.
Katanya, pada hari kejadian, hatinya berasa sedikit berat untuk membenarkan isteri ikut sama, namun terpaksa selepas Allahyarham memujuk dan memberitahu tidak mahu tinggal seorang diri di rumah.
"Dari waktu mula naik lori, dia hanya tidur, tidak seperti selalu. Semasa kejadian, saya sempat dengar jeritan isteri memanggil 'Abi'. Itulah panggilan terakhir dia kepada saya," katanya.
Pasangan berkenaan berkahwin tahun lalu dan masih belum dikurniakan cahaya mata.
Menceritakan nahas tersebut, beliau berkata, keadaan lori sukar dikawal secara tiba-tiba menyebabkannya tidak sempat mengelak treler yang berada di hadapan.
"Saya reda dengan kejadian ini, ALLAH lebih menyayanginya," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, siasatan mendapati, kejadian berlaku di Kilometer 20.3 Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur.
Katanya, semasa kejadian, treler terlibat dipandu seorang lelaki berusia 51 tahun sedang berhenti di laluan kecemasan.
"Siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!