Zi Yu-Dania Sofea mara ke final Kejohanan Badminton Remaja Dunia

Aksi Zi Yu-Dania Sofea ketika Kejohanan Badminton Remaja Dunia.
Aksi Zi Yu-Dania Sofea ketika Kejohanan Badminton Remaja Dunia.
A
A
A

[DIKEMAS KINI] PEMAIN muda negara, Low Zi Yu-Dania Sofea Zaidi, hanya selangkah lagi untuk mencipta sejarah muncul beregu wanita Malaysia pertama bergelar juara Kejohanan Badminton Remaja Dunia apabila mara ke final pada edisi 2024 di Nanchang, China hari ini.

Lebih manis apabila pasangan bukan pilihan itu melakukan kebangkitan mengagumkan untuk mengesahkan tempat ke final dengan menumbangkan pasangan tuan rumah yang juga pilihan utama, Chen Fan Shu Tian-Liu Jia Yue, 16-21, 21-16, 21-17 dalam aksi separuh akhir yang mendebarkan selama 71 minit di Pusat Sukan Antarabangsa Nanchang.

Melahirkan kegembiraan melangkah ke final pada penampilan pertama mereka di kejohanan itu, Dania 16, berkata kejayaan tersebut hasil tindakan mereka menukar taktikal permainan dalam set kedua dan ketiga.

"(Selepas kalah set pertama) jurulatih meminta kami meningkatkan rentak dan bermain lebih pantas,” katanya menerusi rakaman audio dikongsikan oleh Persekutuan Badminton Dunia kepada media.

Zi Yu-Dania akan berdepan pilihan keempat dari Jepun, Ririna Hiramoto-Aya Tamaki yang turut mencipta kejutan apabila menewaskan pilihan kedua dari Indonesia, Isyana Syahira Meida-Rinjani Kwinara Nastine, 21-18, 21-19.

Pada 2018, Pearly Tan-Toh Ee Wei nyaris muncul juara beregu wanita Kejohanan Badminton Remaja Dunia buat pertama kali bagi Malaysia sebelum tunduk kepada Liu Xuanxuan-Xia Yuting dari China, 16-21, 16-21 pada aksi final yang berlangsung di Markham, Kanada.

Sementara itu, pilihan utama beregu lelaki Aaron Tai-Kang Khai Xing seperti yang diharapkan turut melangkah ke final selepas gandingan Malaysia itu menewaskan pasangan tuan rumah yang juga pilihan keempat, Chen Yong Rui-Chen Zhe Han menerusi set penentuan 21-18, 10-21, 21-15.

Aaron-Khai Xing mempunyai peluang untuk menamatkan kemarau 13 tahun Malaysia memenangi kategori itu apabila mereka berdepan pilihan kedua dari China, Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi yang menyingkirkan Kenta Matsukawa-Yuto Nakashizu dari Jepun, 21-17, 21-5.

Artikel Berkaitan:

Khai Xing mengakui ketenangan menjadi kunci kejayaan mereka bangkit selepas tewas set kedua, untuk memenangi set ketiga dan mengesahkan tempat ke final esok.

Nelson Heg-Teo Ee Yi merupakan beregu lelaki terakhir Malaysia yang memenangi gelaran di kejohanan itu pada 2011 yang berlangsung di Taoyuan, Taiwan.

Minggu lepas, Malaysia meraih pingat gangsa dalam acara berpasukan campuran selepas tewas kepada tuan rumah, China 76-110 pada aksi separuh akhir. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!