'Kerap mandi, banyakkan makan kangkung'
SHAH ALAM - Orang ramai dilarang panik kerana sifat itu sendiri akan mempengaruhi dan menurunkan imuniti badan, kata Doktor Kesihatan Profesional (MBBS), Dr Noordin Darus berhubung penularan wabak koronavirus.
Dr Noordin Darus berkata, rakyat perlu bertenang dalam keadaan sekarang dan perlu mementingkan aspek penjagaan diri sebagai langkah pencegahan.
"Apa yang menyebabkan kita kena mudah kena jangkitan sesuatu virus atau penyakit adalah bergantung kepada imuniti tubuh kita. Perkara ini mudah, kita cuma perlu jaga diri.
"Koronavirus ini terkenal dengan sifatnya yang takut air jadi untuk jaga diri kena kerap mandi, jaga pemakanan dan hadkan pergerakan ketika ini," katanya.
Kata Noordin, bagi sesiapa yang terkena jangkitan koronavirus mereka dinasihatkan untuk meminum air kelapa dan air lemon suam antara enam hingga tujuh gelas pada hari pertama.
Tambahnya, pada hari kedua pula pengambilan air itu perlu diteruskan tetapi dikurangkan kepada masing-masing lima gelas serta perlu mengambil banyak sayur hijau seperti kangkung.
"Uniknya koronavirus dia serang saluran pernafasan sama seperti influenza. Jadi saya juga nasihatkan jangan kerap makan gula, susu dan daging (sebagai usaha meningkatkan ketahanan badan)," katanya.
Beliau berkata demikian pada Wacana Sinar Harian Siri 155 bertajuk: Koronavirus: Adakah kita lambat bertindak? di Bangunan WUI, Kompleks Karangkraf Seksyen 15 di sini malam tadi.
Dalam wacana yang dikendalikan moderator, Sayed Munawwar Sayed Mohd Mustar itu, Noordin bergandingan bersama Ketua Pegawai Pematuhan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Zulkarnain Mohd Yasin dan Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Buang sebagai panelis.
Sementara itu, Noordin turut memuji tindakan yang diambil kerajaan dalam menangani penularan wabak koronavirus di negara ini yang disifatkan sebagai paling cepat berdasarkan pengalaman berdepan wabak berbahaya sebelum ini.
"Sekarang kita tengok konsep (cara) China dan negara-negara luar selesaikan masalah (wabak) ini dan dari situ ada timbul tuduhan-tuduhan tidak berasas.
"Namun dari sudut sains, jika dicatatkan cuma 0.018 peratus mangsa meninggal itu dikira rendah dan situasi di Wuhan purata kematian yang direkodkan antara 2 hingga 2.3 peratus," katanya.
[LIVE] Koronavirus: Adakah Kita Lambat Bertindak?Rakaman penuh Wacana Sinar Harian bertajuk Koronavirus: Adakah Kita Lambat Bertindak boleh ditonton di https://bit.ly/3bjK4SY
Posted by Sinar Harian on Thursday, February 6, 2020
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!