Pelajar UiTM terselamat nahas sebak ingat kenangan bersama rakan

Muhammad Ammar Danish (tengah) ketika menerima rawatan di wad Hospital Dungun.
Muhammad Ammar Danish (tengah) ketika menerima rawatan di wad Hospital Dungun.
A
A
A

DUNGUN - 'Saya tak ingat sepenuhnya kejadian yang berlaku itu, sedar-sedar sudah berada dalam longkang,' kata pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun yang terselamat dalam kemalangan mengakibatkan tiga rakannya maut akibat dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Pantai Sura dekat sini pada Rabu.

Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridwan, 20, berkata, kejadian berlaku ketika dia menunggang motosikal bersama Allahyarham Khairil Anwar Jamaludin, 20, setelah pulang dari membeli barang di bandar Dungun.

Menurutnya, dua rakannya iaitu Allahyarham Muhammad Akmal Md Tukirin, 25 dan Allahyarham Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, turut serta bersama mereka dengan menaiki sebuah lagi motosikal.

"Pada awalnya, hanya saya dan Khairil nak pergi beli barang selepas melakukan aktiviti kokorikulum di kampus namun ketika itu Akmal dan Adib turut sama nyatakan hasrat nak ikut kami membeli barang.

"Jadi kami berempat pergi bersama-sama. Saya masih ingat lagi kami sempat bergurau sebelum bergerak balik dan itulah kenangan terakhir saya ingat bersama mereka.

"Saya tak ingat sepenuhnya kejadian itu namun saksi menyatakan kami dilanggar dari belakang," katanya ketika ditemui pemberita di wad Hospital Dungun di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Muhammad Ammar Danish berkata, dia terkesan dengan pemergian tiga sahabat baiknya itu namun reda dengan perkara yang menimpa mereka.

"Memang sangat sedih sebab tidak sangka kejadian keluar membeli barang bersama merupakan kenangan terakhir saya bersama dengan mereka.

Artikel Berkaitan:

"Saya doakan semoga roh ketiga-tiga sahabat baik saya itu dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama golongan orang-orang beriman dan beramal soleh," katanya dengan nada sebak.

Dalam pada itu, Muhammad Ammar Danish memberitahu keadaan kesihatannya semakin beransur pulih.

"Setakat ini saya tak boleh berjalan dengan laju sebab kaki kiri dan kanan berjahit.

"Kepala pun rasa sakit, doktor kata kesan jatuh. Doakan supaya saya kuat dan kembali sembuh sedia kala," ujarnya.

Dalam kejadian pada 7.35 malam itu, tiga pelajar UiTM Kampus Dungun maut manakala seorang lagi rakan mereka parah selepas dua motosikal yang dinaiki mereka dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Pantai, berhadapan UiTM Dungun.

Tiga mangsa yang meninggal dunia adalah Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, dari Muar, Johor; Ku Adib Ku Azmi, 20, dari Sungai Buloh, Selangor dan Khairil Anwar Jamaludin, 20, dari Ampang, Selangor.

Manakala Muhammad Amar Danish Mohammad Ridhuan, 20, dari Kuala Lumpur cedera di pinggang dan sedang dirawat di Hospital Dungun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!