'Kami serik, masih trauma banjir besar pada 2021' - Penduduk

Antara rumah yang terjejas akibat banjir kilat di Kampung Pasir Karak Setia pada Sabtu.
Antara rumah yang terjejas akibat banjir kilat di Kampung Pasir Karak Setia pada Sabtu.
A
A
A

BENTONG - Empat beranak berdepan detik cemas selepas rumah mereka dinaiki air sehingga ke paras pinggang dalam kejadian banjir kilat di Kampung Pasir Karak Setia di sini pada Sabtu.

Aminuddin Zaki Said, 59, yang tinggal bersama isteri dan dua anak lelakinya berkata, hujan lebat hampir tiga jam pada Jumaat menyebabkan rumahnya antara yang dinaiki air di kampung tersebut.

"Hujan lebat malam tadi (Jumaat) memang merisaukan kami sekeluarga dan kami bersiap sedia menyelamatkan barangan rumah serta dokumen penting.

"Tragedi banjir besar pada 2021 menyebabkan kami sudah serik dan berjaga-jaga untuk elakkan kerugian lebih besar," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Tambahnya, air mula naik kira-kira jam 7.30 pagi dan sudah surut sepenuhnya kira-kira jam 2.30 petang.

"Namun kami masih risau kalau air kembali naik dengan keadaan cuaca tidak menentu," katanya yang turut memberitahu banjir kilat itu kejadian kali pertama pada tahun ini.

Aminuddin antara 14 keluarga membabitkan 46 mangsa di kampung itu yang terjejas akibat banjir kilat.

Bagi seorang tukang rumah, Zulkafli Khamis, 59, keadaan cuaca tidak menentu menyebabkan dia dan keluarganya perlu berjaga-jaga untuk sebarang kemungkinan.

Artikel Berkaitan:

"Memang air sudah surut tapi dengan tragedi banjir besar pada 2021 masih membuatkan kami trauma.

"Macam banjir kilat hari ini (Sabtu), hujan memang sangat lebat malam tadi (Jumaat) dan berdebar juga dibuatnya walaupun air sudah surut sepenuhnya siang tadi," katanya yang tinggal bersama isteri dan bayi lelaki berusia 11 bulan.

Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Bentong melaporkan selain kampung tersebut, tiga lagi lokasi terlibat banjir kilat iaitu di Taman Bunga Raya 2 Karak, Kampung Batu Satu dan Kampung Repas.

Ketiga-tiga lokasi itu dinaiki air kira-kira jam 11.30 malam pada Jumaat iaitu dua keluarga di Taman Bunga Raya 2, 10 keluarga di Kampung Batu Satu dan 18 keluarga di Kampung Repas membabitkan 103 mangsa.

Tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka dan tidak membabitkan sebarang kematian atau kecederaan.

Young Syefura ketika melawat kawasan banjir kilat di daerah Bentong. Foto FB Young Syefura
Young Syefura ketika melawat kawasan banjir kilat di daerah Bentong. Foto FB Young Syefura

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman memohon semua penduduk berwaspada dan peka dengan keadaan semasa.

Beliau juga telah turun meninjau keadaan semasa di beberapa lokasi terlibat bagi memastikan agar penduduk yang terjejas diberikan bantuan segera.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!