Nani Sahirah lebur rekod kebangsaan lagi

Nani Sahirah
Nani Sahirah
A
A
A

ATLET lontar peluru wanita negara Nani Sahirah Maryata mencuri tumpuan apabila sekali lagi memperbaharui rekod kebangsaan miliknya sendiri pada Kejohanan Olahraga Terbuka Perlis pada Sabtu.

Pada kejohanan yang berlangsung di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis, atlet berusia 22 tahun itu telah membuat balingan sejauh 15.39 meter (m) untuk mengatasi rekod yang diciptanya tahun lepas 15.22m pada Kejohanan Olahraga Terbuka Perak.

Keputusan itu menyaksikan Nani Sahirah sekali gus menyambar pingat emas, manakala pingat perak dan gangsa masing-masing menjadi milik Nurrul Ainin Syauqina M. Nor Azhar (13m) dan Norliyana Kamaruddin (11.20m).

Mengulas mengenai persembahannya, atlet kelahiran Kuantan, Pahang itu berkata keputusan itu nyata menebus kekecewaannya yang gagal memperbaharui rekod kebangsaan pada Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2024 September lepas.

"Saya sasar nak lebur rekod di SUKIPT, memang sudah lebur, tapi balingan saya tidak dikira pada ketika itu, jadi saya rasa dapat balas dendamlah bila dapat lebur rekod hari ini. Boleh jadi rangsangan untuk saya beraksi di Sukan SEA, Thailand tahun depan.

"Kalau ikutkan balingan hari ini sudah menyamai pemenang pingat perak Sukan SEA Kemboja, tapi di Thailand mestilah saya nak dapat emas, jadi banyak lagi perkara perlu ditambah baik dan jauh lagi perjalanan saya,” katanya kepada Bernama. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!