Tebing parit runtuh, dua kenderaan nyaris terjunam
AMPANG - Dua buah kenderaan nyaris terjunam akibat runtuhan tebing parit di Taman Lembah Maju di sini pada Sabtu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, panggilan berkaitan kejadian diterima pihaknya pada jam 7.14 malam.
"Kejadian melibatkan runtuhan tebing parit di kawasan berkenaan mengakibatkan sebuah kereta dan sebuah lori satu tan nyaris terjunam.
"Seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ampang kemudiannya dikejarkan ke lokasi kejadian," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Katanya, kejadian melibatkan runtuhan tebing parit berkeluasan 20x20 kaki persegi serta berketinggian 10 meter.
"Tiada mangsa yang terlibat dalam kejadian berkenaan.
"Anggota bomba bertugas memantau lokasi kejadian bagi memastikan keadaan keselamatan sekitar," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!