Wajah baharu skuad hoki negara

Subahan (tiga dari kiri) bersalaman dengan Darren (empat dari kanan) sebagai tanda kerjasama strategik KHM bersama Mizuno di Johor Bahru pada Sabtu. Foto KHM.
Subahan (tiga dari kiri) bersalaman dengan Darren (empat dari kanan) sebagai tanda kerjasama strategik KHM bersama Mizuno di Johor Bahru pada Sabtu. Foto KHM.
A
A
A

KONFEDERASI Hoki Malaysia (KHM) menjalin kerjasama dengan Mizuno Malaysia Sdn Bhd untuk jersi baharu pasukan wanita dan remaja kebangsaan selain skuad hoki dalam dewan lelaki serta wanita negara.

Mizuno, sebuah syarikat global yang mengeluarkan pelbagai produk sukan termasuk pakaian dan peralatan untuk sukan pingpong, badminton, golf, baseball dan seni bela campuran.

Pengurus Mizuno Malaysia, Darren Wong berkata, syarikat itu juga merupakan penaja untuk skuad hoki kebangsaan Jepun, Ireland, Great Britain dan beberapa kelab di Eropah.

“Bagi pasukan Malaysia, kami melihat potensi. Mereka mempamerkan prestasi yang baik dan memiliki keyakinan yang tinggi,” katanya.

Menurut beliau, kerjasama tersebut membabitkan pakaian dan kasut sewaktu latihan serta kejohanan untuk keempat-empat pasukan kebangsaan tersebut.

KHM dan Mizuno menandatangani kontrak selama setahun dengan peruntukan lanjutan setahun lagi.

Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal melahirkan rasa terujanya terhadap kerjasama yang diyakini akan memberi manfaat kepada pasukan hoki wanita (senior dan remaja) kebangsaan serta skuad hoki dalam dewan (lelaki dan wanita) negara.

“Antara sebab lain mengapa KHM bersetuju untuk Mizuno Malaysia menyertai kami adalah kerana mereka merupakan sebuah jenama yang hebat. Berasa teruja di atas kerjasama ini yang merupakan satu penghormatan buat kami,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani kerjasama antara KHM dan Mizuno di Johor Bahru pada Sabtu.

Subahan menambah, Mizuno sedar bahawa skuad wanita di peringkat senior dan remaja, mempunyai masa depan yang cerah dan merupakan antara pasukan terbaik di Asia yang menyertai pelbagai kejohanan.

Pasukan senior wanita bakal beraksi pada Kejohanan Hoki Wanita Trofi Juara-Juara Asia di Bihar, India bermula 11 hingga 21 November ini, manakala pasukan remaja wanita akan bermain pada Piala Remaja Asia di Muscat, Oman, Disember depan.

Piala Dunia Hoki Lelaki Dalam Dewan 2025 pula bakal berlangsung di Pusat Sukan Zatika, Porec, Croatia pada 3 hingga 9 Februari tahun depan.

“Saya percaya bahawa skuad remaja wanita akan melayakkan diri pada Piala Dunia secara merit buat kali pertama.

“Menerusi kerjasama ini ia akan memberi suntikan tambahan kepada para pemain. Kami mahu membawa jenama ini ke dalam Piala Dunia Remaja,” kata Subahan.

Beliau juga menegaskan, skuad senior pula berada di landasan tepat dengan harapan dapat mencatat keputusan podium pada Sukan Asia 2026.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!