Hafaz al-Quran pada usia muda satu anugerah
KUANTAN - "Allhamdulillah, Allah kurniakan anugerah yang cukup besar dalam hidup saya apabila berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran pada usia muda.
"Atas keberkatannya, ALLAH permudahkan pula segala urusan hidup saya yang lain termasuk keputusan cemerlang 11 A pada Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 lalu," kata penuntut A Level Universiti Taylor, Akif Ibrahim, 18 yang juga pelajar terbaik SPM 2023 Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP).
Akif berkata, al-Quran Kalamullah dan bila membacanya dijadikannya sebagai amalan, ALLAH akan permudahkan urusan hidup kita dengan keberkatan al-Quran itu sendiri.
Bercita-cita untuk bergelar jurutera suatu hari nanti, anak bongsu dari empat beradik itu mengakui beruntung kerana ayah dan ibu telah mengajarnya mengaji sejak kecil.
"Saya mula menghafaz al-Quran selepas masuk MTNP bermula dari tingkatan satu hingga tingkatan lima dan berjaya menguasai 30 juzuk.
"Proses menghafaz al-Quran bukan mudah kerana usaha itu memerlukan rutin disiplin tinggi.
"Allhamdulillah, walaupun sukar, atas niat kita yang ikhlas dan bersungguh-sungguh berserta bimbingan para guru dan sokongan ibubapa, saya berjaya melalui proses itu dengan lancar," katanya.
Katanya lagi, selama lima tahun di MTNP, dia bukan sahaja mampu hafaz 30 juzuk al-Quran malah menguasai bidang akademik apabila beroleh pencapaian cemerlang dalam SPM tahun lalu.
"Berbeza semasa di MTNP dulu, kini di luar lebih mencabar untuk istiqomah menjaga hafazan," kata anak pensyarah dari sebuah universiti awam ini.
Menurutnya, semasa di MTNP suasananya terjaga dan di bawah bimbingan guru tapi sekarang dia perlu menjaganya sendiri dengan penuh displin.
"Kena cari masa dan paksa diri tidak boleh malas untuk mengulang membaca al-Quran.
"Biasanya saya mengulang setiap kali selepas solat fardu sekurang-kurang lima muka surat dan dalam sehari dapat baca satu juzuk.
"Kalau susah atau penat sangat, paling tidak satu muka surat tidak boleh tinggal langsung," katanya berkongsi tip untuk kekalkan ingatan hafazan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!