Kes dera, seksual pelajar tahfiz sampai bila...

Empat pelajar tahfiz yang dilaporkan hilang pada Selasa ditemui semula di Bangi.
Empat pelajar tahfiz yang dilaporkan hilang pada Selasa ditemui semula di Bangi.
A
A
A

SEKOLAH tahfiz merupakan institusi yang diharapkan dapat membentuk generasi muda yang berakhlak dan menguasai ilmu agama.

Namun, apabila muncul kes yang melibatkan penderaan di sekolah tahfiz, ia menimbulkan kebimbangan dalam masyarakat.

Seperti kejadian berlaku Selasa lalu, empat pelajar tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang ditemui semula selepas hilang dipercayai melarikan diri kerana tidak tahan menjadi mangsa dera dan seksual.

Polis menemui beberapa kesan lebam dan kecederaan pada pelajar berkenaan menyebabkan dua kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 14b Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, kesemua pelajar berumur 13 hingga 14 tahun itu ditemui di Bangi pada pada jam 11.58 malam Khamis sebelum dibawa ke hospital untuk pemeriksaan.

Keempat-empat pelajar berkenaan sedang berjalan di sekitar kawasan Kampung Bangi, Kajang sebelum ditemui orang awam sebelum diserahkan kepada Balai Polis Bangi.

Kes melibatkan dera dan seksual di sekolah tahfiz bukan perkara baharu namun jika dibiarkan pihak berkuasa pasti semakin berleluasa.

Ia memberikan pelbagai kesan buruk kepada pelajar berkenaan seperti kesakitan psikologi yang dialami dapat mengganggu perkembangan mental dan emosi menyebabkan mereka merasa terasing serta tidak berdaya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, penderaan boleh menyebabkan pelajar kehilangan minat dalam belajar dan berpotensi untuk menjauhkan diri dari agama yang sepatutnya mereka cintai.

Kesan fizikal daripada penderaan juga tidak boleh diabaikan termasuk kecederaan yang mungkin tidak dapat dilihat tetapi memberi kesan kepada kesihatan jangka panjang.

Justeru, isu penderaan di sekolah tahfiz ini adalah masalah serius yang memerlukan perhatian semua pihak.

Guru dan pengasuh di sekolah tahfiz perlu dilatih tentang cara mendidik dengan berkesan tanpa menggunakan kekerasan, mereka perlu memahami kesan negatif dari penderaan.

Dalam pada itu, setiap sekolah wajar menyediakan saluran pengaduan yang selamat dan tanpa prejudis bagi pelajar untuk melaporkan sebarang bentuk penderaan.

Pihak berkuasa pendidikan juga wajib melakukan pemantauan dan audit berkala terhadap sekolah tahfiz untuk memastikan kebajikan pelajar terjaga.

Sementara itu, masyarakat patut diberi kesedaran tentang hak kanak-kanak dan tanggungjawab untuk melindungi mereka daripada sebarang bentuk penderaan.

Pendidikan agama haruslah dilakukan dalam suasana yang selamat dan penuh kasih sayang.

Dengan langkah-langkah pencegahan yang tepat, diharapkan generasi muda dapat dibentuk dengan baik tanpa mengalami trauma yang boleh menjejaskan perkembangan mereka.

Kesejahteraan pelajar harus menjadi keutamaan dalam setiap institusi pendidikan termasuk sekolah tahfiz.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!