10 keluarga terima perlindungan insurans rumah sehingga RM60,000

Chun Kuang (tengah) bersama sebahagian penerima tajaan insurans rumah ADUN Semambu pada sesi penyerahan pada Sabtu.
Chun Kuang (tengah) bersama sebahagian penerima tajaan insurans rumah ADUN Semambu pada sesi penyerahan pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Seramai 10 keluarga berpendapatan rendah sekitar kawasan Indera Mahkota 1 di sini menerima tajaan insurans rumah inisiatif Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuang.

Chun Kuang berkata, melalui inisiatif itu, penerima tajaan akan menerima perlindungan insurans sehingga RM60,000.

Menurutnya, perlindungan meliputi pelbagai risiko termasuk bencana alam seperti ribut dan kebakaran.

"Kebelakangan ini, beberapa kebakaran telah berlaku di Kuantan menyebabkan kerugian besar kepada keluarga terlibat dan lebih membimbangkan apabila tahap kesedaran terhadap insurans rumah ini masih rendah," katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.

Sesi penyerahan polisi insurans rumah tajaan ADUN Semambu itu diadakan Indera Mahkota di sini pada Sabtu.

Chun Kuang berkata, insurans rumah langkah perlindungan jangka panjang yang perlu dipertimbangkan setiap keluarga.

"Bagaimanapun kebanyakan orang memilih tidak lagi memperbaharui insurans rumah selepas menyelesaikan bayaran pinjaman rumah.

"Apabila bencana berlaku, keluarga yang tidak mempunyai insurans sering kali terjerumus dalam kesulitan kewangan yang serius," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, ramai juga keluarga berpendapatan rendah terpaksa menghentikan insurans rumah disebabkan tekanan kewangan dan kurang faham mengenai jenis insurans serta kepentingannya.

"Tajaan insurans rumah ini kali pertama diserahkan bagi membantu keluarga berpendapatan rendah terpilih mendapat perlindungan dan akan diteruskan pada masa akan datang.

"Selain itu, inisiatif ini juga sebagai kempen kesedaran kepada masyarakat terhadap kepentingan perlindungan insurans termasuk insurans kediaman," katanya.

Beliau berkata, insurans bukan perbelanjaan yang boleh diabaikan sebaliknya ia langkah efektif untuk melindungi keluarga daripada risiko yang tidak dijangka.

"Bencana seperti kebakaran dan ribut sesuatu yang tidak dapat diramalkan justeru saya berharap dengan inisiatif penajaan ini, kita dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap insurans rumah dan menggalakkan lebih ramai orang mengambil langkah-langkah perlindungan yang sesuai," katanya.

Sementara itu, Chun Kuang berkata, selain tajaan insurans, beliau juga merancang untuk bekerjasama dengan pihak-pihak berkaitan pada masa akan datang bagi menganjurkan taklimat kepada orang ramai berkenaan cara memilih pelan insurans yang sesuai serta proses tuntutannya.

"Ia bagi memastikan setiap keluarga mempunyai pengetahuan yang diperlukan bagi melindungi harta mereka," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!