'Saya maafkan tapi belum sedia bertemu mereka' - Bapa arwah Khairil Anwar

Ibu mangsa Allahyarham Khairil Anwar, 20, Norma Mohammed Nor, 52, ditenangkan ahli keluarga.
Ibu mangsa Allahyarham Khairil Anwar, 20, Norma Mohammed Nor, 52, ditenangkan ahli keluarga.
A
A
A

SHAH ALAM - Bapa kepada salah seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun yang maut, Allahyarham Khairil Anwar, 20, masih belum bersedia bertemu dengan suami dan suspek wanita terlibat dalam kemalangan hingga meragut nyawa anak bongsunya.

Jamaludin Hussin, 53, berkata, dia dan keluarga bersedia memaafkan suspek wanita yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) menyebabkan kemalangan hingga mengorbankan anaknya itu.

Ia susulan permohonan maaf dibuat daripada suami kepada wanita berkenaan, Azhar Ahmad, 53, pada Jumaat lalu yang juga berharap dapat bertemu ahli keluarga mangsa.

"Sebagai seorang Islam, saya maafkan dia. Bagaimanapun saya dan isteri belum bersedia bertemu dengan suami wanita terbabit.

"Saya reda dan terima apa yang berlaku, saya maafkan dia, kalau tak maaf, dendam tidak akan habis sampai bila-bila," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Sebelum ini, pihak pengurusan UiTM cawangan Terengganu akan membantu mengatur pertemuan antara keluarga mangsa dan suspek wanita yang terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan kematian pelajarnya pada Rabu lepas.

UiTM cawangan Terengganu dalam kenyataan pada Sabtu berkata, usaha tersebut dibuat atas permintaan keluarga suspek yang berhasrat untuk menyampaikan permohonan maaf menerusi pertemuan empat mata dengan tiga keluarga mangsa.

Pada malam Rabu, tiga pelajar UiTM Dungun maut manakala seorang lagi parah selepas terbabit dalam kemalangan di hadapan universiti berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Tiga pelajar terbabit, Khairil Anwar Jamaludin, 20, Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, dan Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, meninggal dunia apabila dua motosikal jenis Yamaha LC135 serta Yamaha Y15 yang ditunggangi mereka dirempuh kenderaan Honda CRV dipandu seorang wanita.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!