[VIDEO] Tiga ahli GISBH didakwa eksploitasi manusia, amang seksual fizikal

A
A
A

KOTA TINGGI - [DIKEMAS KINI] Tiga individu yang mempunyai kaitan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi di sini pada Ahad atas pertuduhan pemerdagangan manusia dan melakukan amang seksual fizikal antara Ogos tahun lalu hingga Oktober tahun ini.

Bagaimanapun tertuduh, Mahmad Hamal Tukiman, 57, Rabiahtul Adawiyah Md Shash, 31 dan Muhammad Ansarullah Tukino, 20 mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hayda Faridzal Abu Hasan.

Tertuduh, Mahmad Hamal (dua dari kanan) dan Muhammad Ansarullah (dua dari kiri) didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, pada Ahad.
Tertuduh, Mahmad Hamal (dua dari kanan) dan Muhammad Ansarullah (dua dari kiri) didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, pada Ahad.

Mengikut kertas pertuduhan, Mahmad Hamal dan Rabiahtul Adawiyah bersama tiga lagi suspek yang masih bebas didakwa memperdagangkan tiga wanita dan seorang lelaki berusia 30 hingga 57 tahun dengan masksud eksploitasi kerja paksa dengan cara ancaman.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Ikhwan Resort, Kampung Air Bintan, Ladang Sungai Papan, Bandar Penawar Pengerang antara Ogos 2023 hingga 1 Oktober 2024.

Bagi pertuduhan itu, kedua-duanya didakwa mengikut Sesyen 12 Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan boleh didenda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh, Mahmad Hamal (kanan) dan Muhammad Ansarullah (kiri) didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, pada Ahad.
Tertuduh, Mahmad Hamal (kanan) dan Muhammad Ansarullah (kiri) didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, pada Ahad.

Kes dikendalikan, Timbalan Pendakwaraya, Ahmad Khairuddin Khalid manakala kedua-kedua tertuduh diwakili peguam, Fathul Anwar Muin.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Khairuddin memohon mahkamah menetapkan wang jaminan RM50,000 kepada setiap tertuduh bagi setiap pertuduhan.

Namun, Fathul Anwar memohon wang jaminan direndahkan kerana Mahmad Hamal mempunyai dua orang isteri, 11 orang anak serta menjaga lapan orang cucu manakala Rabiahtul Adawiyah mempunyai tiga orang anak dan anak paling kecil masih menyusu.

Tertuduh, Rabiahtul Adawiyah mempunyai tiga orang anak dan anak paling kecil masih menyusu memohon wang jaminan direndahkan.
Tertuduh, Rabiahtul Adawiyah mempunyai tiga orang anak dan anak paling kecil masih menyusu memohon wang jaminan direndahkan.

Hakim kemudian membenarkan wang jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin warga tempatan berserta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di balai polis setiap bulan dan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 27 November depan sebagai tarikh sebutan semula bagi serahan dokumen.

Sementara itu, dalam prosiding yang sama, tertuduh ketiga, Muhammad Ansarullah mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja 16 tahun.

Perbuatan itu didakwa dilakukan 1 dan 3 Jun 2024 pada jam 10 malam di Surau Ikhwan Resort Kampung Air Bintan, Ladang Sungai Papan Bandar Penawar Pengerang.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak 2017 yang dan boleh dihukum hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Peguam yang mewakili tertuduh, Muhammad Ansarullah Muhd Zaim Rosli meminta ikat jamin dicadangkan timbalan pendakwaraya sebanyak RM50,000 dikurangkan kepada RM8,000 mengambil kira faktor kesihatan tertuduh yang mempunyai tekanan darah rendah.

Hakim membenarkan wang jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin warga tempatan berserta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di balai polis setiap bulan dan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 28 November depan sebagai tarikh sebutan semula bagi serahan dokumen.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!