JIPS siasat ASP, enam anggota polis kes cabul, pemerasan wanita

Datuk Seri Azri Ahmad
Datuk Seri Azri Ahmad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) akan melaksanakan siasatan tatatertib terhadap seorang pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintenden (ASP) bersama enam anggota ditahan berkaitan kes pemerasan dan cabul melibatkan seorang wanita.

Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, JIPS akan melaksanakan siasatan tatatertib apabila terdapat kes jenayah yang dilaporkan.

"Keutamaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah siasatan perlakuan jenayah melibatkan kes pemerasan dan pencabulan yang berlaku.

"Bagi JIPS pula, ia akan melibatkan siasatan tatatertib apabila terdapat kes jenayah yang dilaporkan," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan seorang pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintenden bersama enam anggota ditahan pada Jumaat bagi siasatan berkaitan kes pemerasan dan cabul melibatkan seorang wanita, 1 Oktober lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa dilaporkan berkata, tangkapan berkenaan dijalankan susulan laporan yang dibuat mangsa warga tempatan berumur 22 tahun pada 7 Oktober.

Sebelum ini tiga lelaki tempatan berumur antara 30 hingga 50-an telah ditahan berkaitan kejadian, namun telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Susulan siasatan selanjutnya, tujuh individu termasuk seorang pegawai kanan berusia antara 30 hingga 50-an ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, tular di aplikasi Telegram seorang wanita mendakwa menjadi mangsa pemerasan dan cabul sekumpulan individu dalam serbuan di unit sebuah kondominium di Cheras.

Mangsa mendakwa diugut sekumpulan anggota polis yang meminta wang sebanyak RM150,000 sebelum dikurangkan kepada RM90,000 selepas menemui dadah di dalam pemilikan mangsa.

Bagaimanapun, mangsa dibebaskan selepas dibantu seorang lelaki tempatan membuat pembayaran sebanyak RM10,000 dan perlu membuat bayaran semula secara berkala.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!