Penumpang tarik brek kecemasan punca kelewatan tren KTMB
SHAH ALAM - Tindakan seorang penumpang tren ES9052 Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menarik brek kecemasan dengan sengaja ketika gerabak sedang bergerak menyebabkan berlaku kelewatan pada Sabtu.
KTMB berkata, pihaknya meminta penumpang agar tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mengganggu perkhidmatan semasa tren beroperasi.
Menurutnya, pengguna yang didapati melanggar peraturan akan dikenakan tindakan tegas di bawah Seksyen 122, Akta 715, Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.
"Kejadian ini KTMB kongsikan sebagai langkah kesedaran agar insiden sebegini tidak berulang.
"Sesiapa yang menggunakan alat isyarat kecemasan disediakan pengendali berlesen dalam mana-mana koc atau tren untuk memberhentikan kereta api adalah satu kesalahan.
"Mereka boleh disabitkan dengan denda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya sekali," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Berdasarkan hantaran di platform berkenaan, KTMB juga memuat naik video berdurasi tujuh saat memaparkan penumpang lelaki bersama rakannya menarik brek kecemasan dengan sengaja kira-kira jam 11.25 malam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!