Budak perempuan hilang ditemui semula selepas empat hari, disyaki diculik

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Cha Hoong Fong
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Cha Hoong Fong
A
A
A

KLANG - Misteri kehilangan seorang kanak-kanak perempuan yang hilang selepas keluar dari rumahnya di Lorong Batu Nilam 1B, Bandar Bukit Tinggi 1, Selasa lalu terungkai setelah ditemui semula dipercayai diculik sekumpulan individu.

Susulan kejadian itu, enam individu termasuk dua wanita kemudiannya diberkas bagi siasatan lanjut berhubung kejadian.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, mangsa berumur 12 tahun yang sebelum ini dilaporkan hilang telah ditemui semula dalam keadaan selamat kira-kira jam 2.30 petang pada Sabtu.

"Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mangsa berjalan seorang diri sebelum dilihat menaiki sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna hitam.

"Siasatan mendapati mangsa dipercayai diculik daripada penjagaan yang sah di sisi undang-undang," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, hasil maklumat kemudiannya membawa kepada serbuan dan tangkapan di beberapa lokasi antaranya Segambut Dalam, Setia Alam dan Pandamaran pada Sabtu.

"Operasi bermula jam 5 petang itu dijalankan sepasukan anggota polis Cawangan D8 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bersama Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

"Susulan itu, seramai enam suspek terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita tempatan berumur lingkungan 13 hingga 23 tahun berjaya diberkas," katanya.

Artikel Berkaitan:

Hoong Fong berkata, serbuan sama turut merampas kenderaan jenis Perodua Myvi dipercayai digunakan ketika kejadian.

"Semakan mendapati salah seorang suspek didapati memiliki satu rekod jenayah lampau.

"Kesemua suspek kini direman untuk siasatan di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya Selasa lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.20 petang, ibu mangsa telah menyuruh anaknya itu untuk mengambil makanan di dalam kereta yang diparkir di bawah rumah flat terbabit bagaimanapun mangsa tidak pulang selepas itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!