'Selesaikan isu 32 peniaga di Cameron Highlands dengan baik' - Sultan Pahang

Al-Sultan Abdullah
Al-Sultan Abdullah
A
A
A

KUANTAN - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar isu 32 peniaga di Cameron Highlands dapat diselesaikan dengan baik.

Al-Sultan Abdullah bertitah, isu berkenaan turut berada dalam perhatian memandangkan semua maklumat berkaitan telah sampai ke pengetahuan baginda.

Titah baginda lagi, laporan berhubung isu itu telah diterima daripada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan pihak kerajaan.

"Saya berpuas hati dengan laporan yang telah dipersembahkan dan meminta semua pihak akur dengan keputusan kerajaan negeri," titah baginda melalui satu kenyataan di Facebook Kesultanan Pahang.

Al-Sultan Abdullah turut menasihatkan agar tiada pihak ketiga cuba mengeruhkan keadaan bagi memastikan sebarang permasalahan yang timbul dapat diselesaikan dengan baik.

Sebuah portal tempatan sebelum ini melaporkan Pengerusi Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang, Mohd Sophian Mohd Zain bersama pasukannya turun ke Cameron Highlands susulan mendapat aduan seramai 35 peniaga di Medan Agro mendakwa ditindas dengan kenaikan kadar sewa.

Kerajaan negeri telah mengesahkan menerima aduan daripada beberapa peniaga di Medan Agro, Cameron Highlands yang mendakwa ditekan dengan kenaikan kadar sewa sehingga RM7,500 sebulan berbanding hanya RM500 sebelum ini.

Exco Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Pahang, Sim Chon Siang sebelum ini berkata, aduan yang diterima itu kini sedang disiasat.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!