PDRM siasat kemungkinan kanak-kanak rumah amal GISBH diserap fahaman militan
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat kemungkinan terdapat fahaman jihad militan cuba diserapkan kepada kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan dijalankan susulan terdapat dakwaan mengenai tayangan video berunsur militan kepada kanak-kanak yang menghuni di rumah amal itu.
"Walaupun sepanjang siasatan kes ini, saya tidak menyentuh isu berkaitan tayangan video militan itu, namun kita menjurus ke arah itu untuk disiasat.
“Cumanya kanak-kanak ini memang ada ditayangkan video berkaitan pemimpin mereka iaitu Abuya sepanjang berada di rumah amal terbabit,” katanya dihubungi pada Ahad.
Terdahulu, Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor, Mohammad Fahmi Ngah dilaporkan berkata, fahaman jihad militan didedahkan dengan menonton video militan pada waktu lapang kanak-kanak berkenaan.
Katanya, maklumat itu adalah antara sumber yang diperoleh pihaknya daripada PDRM.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!