500 pesawah risau padi tenggelam banjir

Khairul Idham (dua dari kiri) menunjukkan kawasan tanaman padinya di Parit 6 ditenggelami banjir sejak Jumaat lalu.
Khairul Idham (dua dari kiri) menunjukkan kawasan tanaman padinya di Parit 6 ditenggelami banjir sejak Jumaat lalu.
A
A
A

SUNGAI BESAR - Kira-kira 500 pesawah di Parit 5 hingga Parit 9 Timur di sini buntu berikutan tanaman padi mereka berisiko musnah akibat ditenggelami banjir sejak Jumaat lalu.

Keadaan itu berpunca akibat kerosakan tiga daripada empat pam air milik Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor yang didakwa tidak diselenggara dan berfungsi dengan baik.

Seorang pesawah, Khairul Idham Mahyudin, 36, berkata, kawasan tanaman padinya seluas 7.2 hektar di Parit 7 Timur di sini digenangi air yang masih belum surut sehingga kini.

"Ini sudah memasuki hari ketiga, tapi air masih belum surut di kawasan sawah dan saya khuatir padi berisiko mati dalam sehari atau dua hari lagi.

"Paling kritikal, pam yang sepatutnya mengalirkan air ke parit buang pula tidak dapat digunakan dan rosak," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Ahad.

Dari kiri: Roslan dan Khairul Idham
Dari kiri: Roslan dan Khairul Idham

Menurut Khairul Idham, pesawah bimbang mereka terpaksa mengeluarkan kos sekali lagi bagi penanaman semula padi yang rosak.

"Pokok padi yang saya tanam baru berusia 10 hari dan jika padi rosak, kita terpaksa membelanjakan kos tanaman semula dan kos lain yang dianggarkan melebihi RM3,000," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi pesawah, Roslan Hassan, 56, berkata, isu padi ditenggelami banjir bukanlah perkara baharu, sebaliknya sering berlaku terutama semasa musim tengkujuh.

Dia yang menanam padi di Parit 7 memberitahu, IADA Barat Laut Selangor sepatutnya mengambil tindakan segera bagi menangani isu pam air bagi mengelakkan bendang mereka dipenuhi air ketika musim hujan.

"Sepatutnya kerja-kerja penyelenggaraan dan membaiki pam dilakukan sejak awal lagi terutama dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.

"Saya kesal, apabila air sudah melimpah ke bendang, baru ada tindakan hendak diambil pihak berwajib," jelasnya.

Pesawah di Parit 5 1/2, Burhanudin Sulaiman, 62, pula berharap kerajaan dapat membantu pesawah yang terjejas akibat kejadian ini.

Jelasnya, rata-rata pesawah memang bergantung harap kepada sumber pendapatan tanaman padi bagi menampung kehidupan.

"Saya memohon kerajaan beri peruntukan tanam semula pokok padi rosak akibat banjir bagi meringankan beban pesawah.

"Kita harap kerajaan dapat bantu dan selesaikan masalah dihadapi kami yang kian tersepit terutama peningkatan kos input pertanian semakin tinggi," katanya.

Rizam
Rizam

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail berkata, beliau turut meninjau masalah dan aduan daripada pesawah di kawasan terlibat.

Rizam yang juga Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor berkata, isu utama di kawasan tanaman itu berikutan kegagalan tiga mesin pam air berfungsi dengan baik.

"Saya meminta agar IADA Barat Laut Selangor selenggara mesin pam ini segera selain memohon JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) melaksanakan kerja-kerja pembersihan parit buang bagi mengelakkan aliran air tersekat yang mengakibatkan banjir di kawasan sawah," tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!