[VIDEO] GST hanya dilaksana sekiranya ambang gaji minimum meningkat kepada RM3,000 - PM

A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan hanya akan melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sekiranya ambang gaji minimum meningkat kepada RM3,000-RM4,000, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika ini, gaji bulanan minimum di Malaysia adalah pada RM1,500.

Beliau yang mengakui bahawa sistem cukai itu cekap dan telus berkata, GST juga akan membantu mengembangkan dana kerajaan dengan kutipan hasil yang lebih tinggi.

Namun begitu, beliau percaya golongan miskin tidak seharusnya dibebani dengan sistem cukai sedemikian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCIM) ke-78 pada Ahad. Foto Bernama
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCIM) ke-78 pada Ahad. Foto Bernama

"Saya bersetuju, GST adalah sistem cukai yang paling telus dan cekap... tetapi pandangan saya adalah, beri sedikit masa, beberapa tahun, (kita mesti) pastikan ambang gaji meningkat kepada minimum RM3,000-RM4,000, kemudian barulah kita boleh selaraskan dasar,” kata Anwar.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-78 Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), di sini pada Ahad.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata, pelaksanaan GST telah menjadi isu berterusan selama beberapa dekad, malahan semasa beliau menjadi Menteri Kewangan pada 1990-an.

Artikel Berkaitan:

Beliau tidak bersetuju pada masa itu kerana merasakan gejala rasuah yang membabitkan berbilion ringgit, antara lainnya, perlu ditangani terlebih dahulu.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong, yang turut hadir pada majlis itu juga sependapat dengan Perdana Menteri bahawa GST adalah cukai yang cekap dan telus, namun ia membebankan semua orang, golongan miskin mahupun kaya.

"Beliau (Perdana Menteri) menjelaskan bahawa GST hanya akan dilaksanakan selepas beberapa tahun apabila paras pendapatan (gaji) meningkat ke tahap yang boleh diterima," katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa ini, hanya sekitar 15 peratus rakyat Malaysia mempunyai pendapatan mencukupi untuk sampai ke ambang yang melayakkan mereka membayar cukai pendapatan, kata Liew.

"Kita harus bersama-sama menyasar untuk mewujudkan masyarakat yang sekurang-kurangnya 60 peratus daripadanya memperoleh pendapatan yang melayakkan mereka membayar cukai pendapatan," katanya, sambil berharap agar semua pihak, termasuk perniagaan, melihat penciptaan masyarakat kelas pertengahan Malaysia sebagai satu misi nasional. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!