TUDM sedia bantu jika berlaku banjir besar

Asghar Khan ketika membuat pemeriksaan pembarisan sebelum penyampaian sayap penerbangan kursus asas penerbangan di Kolej Tentera Udara, Alor Setar pada Ahad.
Asghar Khan ketika membuat pemeriksaan pembarisan sebelum penyampaian sayap penerbangan kursus asas penerbangan di Kolej Tentera Udara, Alor Setar pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersedia untuk membantu sekiranya berlaku banjir besar semasa dalam tempoh peralihan monsun ini.

Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Asghar Khan Goriman Khan memberi jaminan bahawa Angkatan Tentera Malaysia bersama dengan TUDM akan membantu malah pihaknya juga telah melakukan persediaan awal.

Asghar Khan
Asghar Khan

Menurutnya, lokasi di kawasan tinggi dan tempat pendaratan helikopter telah dikenal pasti di seluruh kawasan berisiko banjir di seluruh negara.

“Apabila diperlukan, kami akan berada di sana. Sekarang, ia tidak kritikal, jadi Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam yang menguruskannya. Tetapi jika diperlukan, kami sudah bersedia,” katanya pada sidang akhbar pada Ahad.

Banjir ketika ini dilaporkan sedang melanda beberapa negeri termasuk Kedah, Perlis, Selangor, Johor dan Perak namun masih dalam keadaan terkawal.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) melaporkan fasa Peralihan Monsun yang bermula pada 24 September lalu dan dijangka berterusan sehingga awal November ini.

Terdahulu Asghar Khan hadir pada program penyampaian sayap penerbangan kursus asas penerbangan kepada 29 graduan daripada pegawai TUDM, Tentera Darat Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia di Kolej Tentera Udara, di sini.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau turut meminta semua anggota tentera mengekalkan tahap profesionalisme yang tinggi selain mengelak daripada terjebak dengan sebarang salah laku.

Menurutnya, anggota tentera perlu mengelakkan salah laku seperti penyalahgunaan dadah, rasuah, perjudian, dan buli, atau sebarang tindakan yang boleh menjejaskan imej agensi tersebut.

"Dahulu, perjudian adalah aktiviti fizikal tetapi sekarang semuanya dalam talian dan boleh diakses melalui komputer. Generasi muda hari ini terlibat dengan teknologi dan mempunyai akses kepada segalanya.

"Saya juga menekankan kepentingan menangani buli dan tingkah laku lain yang membimbangkan. Disiplin sangat penting dalam mana-mana angkatan tentera, dan imej angkatan tentera perlu sentiasa dijaga," ujarnya.

Jelas beliau, semua peraturan tersebut telah dinyatakan dalam Akta Angkatan Tentera 1972, yang mengawal disiplin ketenteraan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!