SPRM temui RM5 juta didakwa milik ahli politik berpengaruh ketika geledah 'safehouse'

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sejumlah mata wang asing bernilai kira-kira RM5 juta ditemukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika menggeledah di sebuah pangsapuri di sini, yang didakwa dijadikan 'safehouse' seorang ahli politik berpengaruh pada Sabtu.

Tindakan itu adalah susulan penahanan dua individu termasuk seorang bekas eksekutif kanan di Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) berkait kes rasuah berhubung konsesi perlombongan pasir.

Menurut sumber, kedua-dua suspek itu didakwa ada kaitan dengan ahli politik terkenal yang pernah mempunyai pengaruh politik di Selangor.

"Susulan penahanan itu, seorang suspek mendedahkan kewujudan 'safehouse' yang bertujuan menyimpan wang hasil rasuah milik seorang ahli politik berpengaruh," katanya.

Menurutnya, penggeledahan dilakukan pada pada jam 10 malam di sebuah pangsapuri di mana ia disewa oleh seorang ahli perniagaan sebagai tempat penyimpanan wang hasil rasuah yang diperoleh.

"Hasil penggeledahan menemui sejumlah wang mata wang Singapura SG$1,529,000 atau kira-kira RM5 juta," katanya.

Katanya, wang itu disimpan bertujuan untuk kegunaan ahli politik berkenaan bagi aktiviti politiknya.

"Wang itu telah disita oleh SPRM bagi siasatan lanjut. Dipercayai wang itu diberikan oleh seorang individu yang belum dikenal pasti identitinya dan disimpan oleh ahli perniagaan ini atas arahan ahli politik berpengaruh tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan SPRM menahan dua individu termasuk seorang bekas eksekutif kanan di Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) MBI untuk siasatan kes rasuah konsesi perlombongan pasir.

Difahamkan, tangkapan dua individu itu dibuat pada Khamis.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, siasatan masih di peringkat awal dan disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Seorang daripada mereka telah direman lima hari sehingga Selasa, manakala seorang lagi dibebaskan atas perintah mahkamah kerana masalah kesihatan.

SPRM turut menyita kira-kira 15 akaun bank milik individu dan syarikat untuk siasatan lanjut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!