Bomba kenal pasti 745 'hotspot' banjir di Johor
JOHOR BAHRU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor mengenal pasti 745 lokasi 'hotspot' banjir sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) di negeri ini.
Pengarahnya, Siti Rohani Nadir berkata, berlaku peningkatan jumlah lokasi 'hotspot' banjir berbanding tahun lepas yang hanya merekodkan 741 kawasan berpunca daripada perubahan iklim dan cuaca.
“Secara keseluruhannya, bilangan 'hotspot' paling tinggi dikenal pasti adalah di Batu Pahat membabitkan 186 lokasi.
“Di Segamat mencatat 103 hotspot, Muar (87); Kluang (78); Tangkak (59); Pontian (58); Kota Tinggi (56); Johor Bahru (44); Mersing (38) dan Kulai (36),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Geran Bantuan Sesi Libat Urus Pasukan Bomba Sukarela Tahun 2024 di Ibu Pejabat JBPM Johor di sini pada Ahad.
Sebelum itu, Rohani turut menyampaikan geran bantuan libat urus kepada 59 pertubuhan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) membabitkan nilai keseluruhan RM90,000.
Mengulas lanjut, Siti Rohani berkata, semua aset sudah berada dalam keadaan bersiap sedia yang diletakkan di pusat pangkalan hadapan (RFB) Zon Selatan di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam.
Katanya, RFB merupakan pusat penempatan aset yang strategik bertujuan menyegerakan operasi menyelamat khususnya pada musim banjir.
"Penduduk yang tinggal di kawasan rendah diminta agar lebih peka dan mengambil langkah berjaga-jaga apabila berlaku hujan lebat berterusan termasuk memastikan keselamatan diri.
"Mereka dinasihati supaya untuk tidak menunggu sehingga saat akhir sekiranya memerlukan pemindahan sementara," katanya.
Rohani berkata, buat masa ini, Johor memiliki aset melibatkan 44 kenderaan pacuan empat roda, 10 lori dan 45 bot bagi menghadapi bencana banjir.
Selain itu katanya, pihaknya juga sudah mengenal pasti 119 lokasi bagi pendaratan helikopter di seluruh negeri ketika menghadapi kecemasan.
Tambahnya, sehingga kini, bilangan anggota bomba di Johor termasuk pegawai Bantuan Bomba (PBB) adalah seramai 1,462.
"Sebagai langkah siap siaga, pengujian logistik operasi banjir sempena MTL akan dijalankan serentak di seluruh negara selain turut dianjurkan bengkel pemantapan perintah dan kawalan bagi ketua balai.
“Ini termasuk kursus pemantapan pegawai kanan dan tata cara kerja membabitkan pesawat supaya mereka bertindak cekap ketika berlaku bencana," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!