Isu Syeikhana: JHEAIK beri teguran, nasihat Syeikh Zainul Asri

Wakil JHEAIK memanggil Syeikh Zainul Asri (dua dari kanan) untuk mendapatkan penjelasan berkaitan video tular pada Ahad.
Wakil JHEAIK memanggil Syeikh Zainul Asri (dua dari kanan) untuk mendapatkan penjelasan berkaitan video tular pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) telah memanggil pendakwah, Syeikh Muhd Zainul Asri Mohd Romli bagi mendapatkan penjelasan berkaitan video tular pada Ahad.

Pengarah JHEAIK, Datuk Dr Abd Ghani Zainuddin berkata, ia susulan video tular di media sosial yang memperlihatkan seorang pendakwah dan sekumpulan pelajar dalam sebuah majlis mengalunkan bait tertentu dalam bahasa Arab memuji guru mereka secara keterlaluan.

Menurutnya, JHEAIK telah memberi teguran dan nasihat kepada Syeikh Zainul Asri agar lebih berhati-hati dalam tindakannya pada masa akan datang.

“Beliau akur dan mengakui kesilapan yang berlaku dan bersedia menerima teguran serta tindakan susulan yang akan diambil seterusnya oleh JHEAIK.

“JHEAIK memberi teguran dan nasihat agar lebih berhati-hati dalam membesarkan mana-mana individu secara keterlaluan, dikhuatiri boleh menimbulkan persepsi negatif kalangan masyarakat,” katanya.

Abd Ghani berkata, ketaasuban melampau dibimbangi boleh mengakibatkan masyarakat terjerumus kepada amalan yang bercanggah dengan akidah sekiranya tidak dibendung.

“JHEAIK turut mengarahkan Syeikh Zainul Asri agar menyampaikan teguran dan nasihat sama kepada pelajar dan pengikut beliau,” jelasnya.

Menurutnya, hasil pertemuan tersebut, Syeikh Zainul Asri mengakui video tersebut telah dirakam pada tahun 2020 namun hanya tular baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

“Beliau memaklumkan, perkara tersebut berlaku secara spontan dan bukan atas kehendak dirinya.

"Beliau juga tidak bersetuju dengan perkara tersebut dan sekadar meraikan hasrat pelajar yang mahu meraikan sambutan hari lahir beliau,” katanya.

Dalam pada itu, Abd Ghani berharap semua pihak di negeri ini berhati-hati dalam memberi penghormatan kepada mana-mana individu yang boleh membawa kepada pemujaan melampau agar perkara seumpama tidak berulang.

Sebelum ini, tular video berdurasi satu minit dua saat memaparkan pendakwah lelaki dan sekumpulan pelajar mengalunkan bait bahasa Arab yang didakwa sebagai satu tindakan memuja guru agama secara melampau.

Pada Khamis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengambil tindakan dan menyediakan laporan berhubung video berkenaan.

Syeikh Zainul Asri kemudiannya tampil menjelaskan hantaran tular berkenaan adalah video lama yang berlaku sewaktu ulang tahun kelahirannya pada 2020, selain mengakui tidak bersetuju sebarang majlis sambutan hari lahir diadakan.

Menerusi hantaran di TikTok pada Khamis, beliau jelaskan terpaksa akur demi menjaga hati kesemua anak murid yang sudah bertungkus-lumus membuat persiapan meraikan ulang tahunnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!