Hanya dua spesies ikan di Sungai Mambau, selebihnya ikan asing - DOF

Program yang berakhir hari ini telah berjaya menangkap sebanyak 1094.6 kilogram (kg) ikan asing iaitu 942 kg ikan bandaraya dan 149.65 kg ikan tilapia hitam. Kasim (kanan) menunjukkan ikan asing yang berjaya ditangkap.
Program yang berakhir hari ini telah berjaya menangkap sebanyak 1094.6 kilogram (kg) ikan asing iaitu 942 kg ikan bandaraya dan 149.65 kg ikan tilapia hitam. Kasim (kanan) menunjukkan ikan asing yang berjaya ditangkap.
A
A
A

SEREMBAN - Hanya dua spesies ikan tempatan ditemui di Sungai Mambau di sini selebihnya adalah ikan asing yang terdiri daripada ikan bandaraya dan tilapia hitam sepanjang dua hari misi memburu ikan asing yang berakhir pada Ahad.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan, Kasim Tawe berkata, penemuan itu menunjukkan sungai berkenaan telah di dominasi ikan asing tersebut.

"Kita hanya dapat tangkap dua jenis ikan tempatan iaitu dua ekor ikan haruan dan seekor ikan keli kampung yang mana sebelum tindakan (buru ikan asing) itu dijalankan kami mendapat aduan daripada penduduk setempat mengenai hasil tangkapan ikan tempatan kurang.

"Program yang berakhir hari ini telah berjaya menangkap 1,094.6 kilogram (kg) ikan asing iaitu 942 kg ikan bandaraya dan 149.65 kg ikan tilapia hitam," katanya kepada Sinar Harian selepas selesai Inventori Perikanan Darat dan Buru Ikan Asing bersama Jabatan Perikanan Negeri Sembilan di Sungai Mambau pada Ahad.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambau, Yap Yew Weng.

Antara individu yang menyertai misi memburu ikan asing di Sungai Mambau yang berakhir pada Ahad.
Antara individu yang menyertai misi memburu ikan asing di Sungai Mambau yang berakhir pada Ahad.

Program bermula Sabtu itu mendapat kerjasama dari Komuniti Pemburu Ikan Bandaraya, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan penduduk dari Kampung Kayu Ara, Kampung Batu 3, Kampung Sri Mantau serta Kampung Mambau.

Kasim berkata, Jabatan Perikanan Negeri Sembilan juga sedang mendapatkan maklumat berhubung populasi ikan bandaraya terutamanya di beberapa sungai di sekitar daerah Seremban.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, hasil tangkapan ikan asing iaitu ikan bandaraya akan dilupuskan dengan menanamnya manakala ikan tilapia akan diagihkan kepada peserta program berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya memandang serius ancaman daripada spesies ikan asing berkenaan kerana ia boleh memusnahkan habitat ikan asli di perairan sungai termasuk ikan baung ekor merah.

"Hasil pemantauan bersama dengan Komuniti Perikanan Darat dan Nelayan Darat hanya terdapat dua sungai yang ada ikan baung ekor merah iaitu di Sungai Triang, Jelebu dan Sungai Muar, Kampung Londah, Tampin.

"Bagaimanapun, daripada program ini menunjukkan ancaman baung ekor merah di sungai-sungai Negeri Sembilan masih belum serius kerana dapatan kami hanya kurang daripada lima ekor setiap program yang kami jalankan.

"Jabatan Perikanan menasihatkan nelayan darat atau orang awam agar tidak melepaskan atau membuang spesies ikan asing terutamanya ikan baung ekor merah ke perairan umum kerana ancaman ikan asing ini membiak dengan cepat," katanya.

Beliau berkata, ia menjadi ikan pemangsa serta mengganggu keseluruhan rantaian makanan, selain bersaing untuk ruang serta makanan dengan ikan spesies asli sekiranya dibiarkan di perairan negeri.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!