PNQ rai 22 peserta berjaya khatam al-Quran
KEPALA BATAS - Seramai 22 peserta Port Ngaji Quran (PNQ) Taman Desa Sena, yang berjaya khatam 30 juzuk al-Quran diraikan pada Majlis Khatam Al-Quran PNQ musim kedua di sebuah hotel di sini pada Ahad.
PNQ adalah salah sebuah cawangan Rumah Ngaji di Pulau Pinang.
Penggerak PNQ Taman Desa Sena, Norijah Abd Rahman berkata, majlis khatam al-Quran ini diadakan selepas kesemua peserta berjaya menghabiskan bacaan setiap muka surat dalam tempoh 604 hari.
"Kelas membaca al-Quran diadakan setiap hari Isnin hingga Jumaat yang mana setiap peserta akan membaca sehari satu muka surat.
"Alhamdulillah dengan semangat dan komitmen yang ditunjukkan mereka akhirnya 22 ahli PNQ berjaya menghabiskan bacaan mereka dan kita raikan dalam majlis khatam al-Quran hari ini," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Ahad.
Norijah berkata, selain membaca al-Quran pelbagai aktiviti lain yang diadakan di PNQ Taman Desa Sena antaranya kuliah taddabur serta kelas fardu ain yang dilaksanakan setiap minggu.
Jelasnya, sehingga kini hampir 50 orang yang menyertai aktiviti yang diadakan di PNQ Taman Desa Sena yang terdiri di kalangan Muslimah termasuk golongan suri rumah, pesara kerajaan dan pekerja swasta berusia di antara 27 hingga 83 tahun.
"Kita mengalu-alukan lebih ramai rakan-rakan Muslimah di sekitar kawasan berhampiran agar bersama kami dalam mengimarahkan PNQ dengan membaca kitab suci al-Quran.
"Di PNQ kita bukan sahaja belajar mengenai tajwid dan bacaan al-Quran malah melalui kuliah taddabur yang diadakan kita juga akan lebih memahami isi kandungan al-Quran," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!