Ahmad Zahid lakukan lawatan rasmi ke Filipina esok

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mengadakan lawatan rasmi tiga hari ke Filipina bermula esok.

Kementerian Luar dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan Ahmad Zahid dijadual membuat kunjungan hormat ke atas Presiden Ferdinand R. Marcos Jr. dan Naib Presiden Sara Duterte semasa lawatan itu.

"Selaku menteri yang bertanggungjawab terhadap pengurusan bencana, Timbalan Perdana Menteri juga akan mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Peringkat Menteri Asia-Pasifik ke-10 bagi Pengurangan Risiko Bencana (APMCDRR).

"Timbalan Perdana Menteri juga akan menyampaikan kenyataan negara berhubung inisiatif, pelaksanaan, pencapaian dan cabaran dalam melaksanakan Kerangka Kerja Sendai bagi Pengurangan Risiko Bencana (SFDRR) 2015-2030,” menurut kenyataan itu.

Ahmad Zahid juga akan menghadiri majlis sambutan yang dihoskan oleh Presiden Filipina.

Kementerian itu turut memaklumkan Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, dijadual mengadakan pertemuan dengan pihak berkepentingan dalam sektor pendidikan bagi membincangkan kerjasama terutama dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pembangunan kemahiran.

Beliau akan disertai antaranya oleh pegawai daripada Wisma Putra, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan wakil universiti awam Malaysia.

Menurut kenyataan itu lawatan beliau menggambarkan hubungan erat antara Malaysia dan Filipina terutama ketika kedua-dua negara menyambut ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik.

Artikel Berkaitan:

Pada 2023, Filipina adalah rakan dagang ke-17 terbesar Malaysia di peringkat global dan kelima terbesar dalam kalangan rakan ASEAN dengan keseluruhan nilai dagangan sebanyak RM36.12 bilion (ASD7.92 bilion).

Dari Januari hingga Julai 2024, jumlah nilai dagangan meningkat 5.6 peratus kepada RM22.41 bilion (ASD4.75 bilion) berbanding RM20.08 bilion (ASD4.48 bilion) dalam tempoh yang sama tahun lepas. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!