Tujuh pemilik tanah dikompaun kerana pembakaran terbuka
KOTA BHARU - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan mengenakan kompaun ke atas tujuh pemilik tanah di negeri ini kerana melakukan pembakaran terbuka.
Pengarahnya, Wan Aminordin Wan Kamaruddin berkata, kesemua mereka dikompaun RM2,000 setiap seorang menjadikan jumlah keseluruhan kompaun sebanyak RM14,000.
Beliau berkata, kesemua kompaun berkenaan dikeluarkan sejak awal Januari sehingga sekarang di beberapa daerah di Kelantan.
"Sebelum ini, JAS telah mengadakan ceramah kesedaran di seluruh negeri termasuk di masjid-masjid sebelum solat Jumaat, khususnya di daerah "hot spot” seperti Bachok dan Pasir Puteh," katanya kepada Bernama hari ini.
Individu yang didapati melakukan kesalahan Pembakaran Terbuka di bawah Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) (Pindaan) 2024 boleh didenda tidak kurang RM25,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Wan Aminordin berkata, JAS telah menguatkuasakan AKAS (Pindaan) 2024 pada 7 Julai lepas.
Ini fasa pertama pindaan kepada AKAS 1974 yang memberikan fokus kepada pindaan nilai kompaun, denda dan penjara. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!