Koronavirus terkawal: Bursa Malaysia dibuka tinggi
KUALA LUMPUR - Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini susulan belian berterusan saham-saham wajaran tinggi terpilih dan saham di pasaran luas, kata penganalisis.
Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.68 mata kepada 1,553.45 berbanding paras 1,552.77 sewaktu dagangan ditutup pada Khamis.
Indeks utama itu dibuka menokok 1.52 mata kepada 1,554.29.
Sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 137 berbanding 93 manakala 191 kaunter lain tidak berubah, 1,564 tidak diniagakan dan 23 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 17.89 juta saham bernilai RM63.88 juta.
Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd berkata, peningkatan bursa tempatan itu dijangka berterusan sehingga akhir dagangan minggu ini berikutan keadaan lebih terkawal membabitkan isu Novel Koronavirus 2019 (2019-nCoV) selain perkembangan positif krisis perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China.
Menurutnya, keadaan yang semakin pulih dan ditambah dengan sentimen positif dalam ekuiti global akan turut menyaksikan kecenderungan peningkatan pasaran dalam masa terdekat ini.
"Pada masa ini, kami melihat aktiviti belian saham berharga rendah yang ketara dan berlanjutan sehingga masa terdekat ini. Keadaan ini akan melonjakkan FBM KLCI untuk menguji semula tahap rintangan pada 1,570," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Media semalam melaporkan langkah China yang sudah memulakan usaha pendaftaran pesakit bagi percubaan klinikal remdesivir - ubat antivirus koronavirus dihasilkan Gilead, firma farmaseutikal terkemuka AS.
ARTIKEL BERKAITAN: 892 pesakit koronavirus sembuh di China
Penularan itu telah meragut 565 nyawa kebanyakannya di China selain dijangkiti lebih 28,000 orang di 25 negara dan wilayah setakat ini.
Dari aspek krisis perdagangan, China telah mengumumkan langkah untuk mengurangkan cukai tambahan import sebanyak AS$75 bilion berikutan terpaksa menangani peningkatan 2019-nCoV berkenaan malah mulai minggu depan, China akan mengurangkan kadar cukai tambahan 10 peratus yang membabitkan beberapa barangan kepada lima peratus.
Barangan lain pula dikenakan cukai tambahan 2.5 peratus, demikian menurut kenyataan Suruhanjaya Cukai China.
Pengurangan itu membabitkan barangan AS yang dikenakan cukai oleh China pada September lepas.
Selain itu di peringkat tempatan, saham wajaran tinggi seperti Top Glove naik lima sen kepada RM5.67, Hartalega untung empat sen kepada RM5.84 manakala Sime Darby Plantation menokok dua sen kepada RM5.21.
Maybank sebaliknya tidak berubah pada RM8.45, Tenaga naik dua sen kepada RM12.90 dan Public Bank susut enam sen kepada RM18.34.
Saham aktif menyaksikan ARB naik 3.5 sen kepada 31 sen, AirAsia Group meningkat dua sen kepada RM1.25 manakala TDM tidak berubah pada 30.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 7.67 mata kepada 10,055.09, Indeks FBM Emas Shariah naik 18.08 mata kepada 11.802.67 dan Indeks FBMT 100 menokok 7.50 mata kepada 10,855.69.
FBM 70 naik 20.86 mata kepada 13,827.31 dan FBM Ace meningkat 4.21 mata kepada 5,484.74.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri meningkat 0.40 mata kepada 146.14, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 17.84 mata kepada 14,866.98 manakala Indeks Perladangan menamba 10.82 mata kepada 7,322.21.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!