Kopi mati ditembak: Tindakan penguatkuasaan diambil ikut prosedur lapangan

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Wan Sukairi
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Wan Sukairi
A
A
A

BESUT - Majlis Daerah Besut (MDB) telah mengambil tindakan mengikut prosedur lapangan ke atas seekor anjing liar bernama 'Kopi' yang tular di media sosial sejak minggu lalu.

Exco Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, dakwaan bahawa anjing tersebut dibiarkan setelah ia mati adalah tidak benar.

"Berkaitan isu anjing Kopi dibiarkan adalah tidak benar kerana berdasarkan SOP MDB, anjing tersebut akan ditanam.

"Bagaimanapun ketika itu, pegawai operasi telah dihalang oleh pengadu dan pihak berkenaan tidak dapat mengambil bangkai anjing tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Ahad.

Menurutnya, tindakan pelupusan anjing liar itu dijalankan mengikut prosedur Tatacara Operasi Piawai (TOP) ditetapkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan selari dengan peruntukan Seksyen 30, Akta Kebajikan Haiwan 2015.

"Merujuk kepada dakwaan yang telah ditularkan oleh Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) melalui hantaran di media sosial Facebook pada 12 Oktober lalu, MDB telah memaklumkan bahawa operasi ini dibuat berdasarkan Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing (Majlis Daerah Besut) 1990.

"Undang-undang tersebut membenarkan penggunaan senjata api dalam keadaan-keadaan tertentu," katanya.

Jelas beliau, mana-mana anjing sama ada berlesen atau tidak yang pemunyanya tidak ditemui boleh dibinasakan atau dilupuskan sebagaimana diarahkan oleh Yang Di Pertua atau mana-mana pegawai yang diberi kuasa.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan negeri prihatin dengan isu yang telah berlaku, namun tindakan penguatkuasaan yang telah diambil oleh MDB adalah mengikut kesesuaian prosedur di lapangan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 131 tangkapan anjing liar dijalankan di seluruh daerah Besut sejak Januari hingga September tahun ini.

Katanya, daripada jumlah itu, pihaknya menerima 62 aduan gangguan anjing liar daripada orang awam.

"Pihak MDB juga turut menerima aduan daripada orang awam berkenaan sekumpulan anjing liar yang berada di sekitar Bank Simpanan Nasional (BSN) Jertih yang bertindak agresif dengan menyerang dan mengganggu orang awam yang melalui kawasan itu," ujarnya.

Wan Sukairi berkata, perbincangan antara pihak berkuasa tempatan (PBT) bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu diadakan bagi mencari jalan penyelesaian terhadap aduan anjing liar yang saban tahun semakin meningkat.

Terdahulu media melaporkannya seekor anjing liar diberi nama Kopi yang pernah tular pada Mac lalu selepas videonya bermain dengan anak kucing terbiar, di sebuah taman perumahan di Terengganu ditemui mati dipercayai ditembak.

Akaun Facebook My Forever Doggo (MFD) berkongsi video berdurasi 52 saat yang memaparkan anjing liar itu mati akibat kecederaan serius.

Menurut MFD, kejadian itu disedari seorang penduduk di taman perumahan itu selepas terdengar bunyi tembakan kuat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!