Op Global: GPAAK kemuka 12 tuntutan terhadap kerajaan
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Gerakan Pulangkan Anak-Anak Kami (GPAAK) mengemukakan 12 tuntutan terhadap kerajaan berikutan penahanan 96 ibu bapa kepada 174 kanak-kanak yang ditahan semasa Op Global pada 11 September lalu.
Jurucakap GPAAK, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, pihaknya berpandangan terlalu banyak kecelaruan dan penahanan dibuat tidak mengikut undang-undang sehinggakan ada yang 'tersalah tangkap'.
Menurut wakil GPAAK itu, antara tuntutan tersebut adalah kerajaan perlu memulangkan semula anak-anak ke pangkuan keluarga, ambil tindakan tatatertib terhadap segelintir pegawai polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang 'salah tangkap' dan memanipulasi ibu bapa.
"Pegawai ambil kesempatan ke atas ibu bapa yang tidak faham undang-undang dengan cara memaksa, menipu dan memperdayakan. Mereka suruh ibu bapa tandatangan dokumen yang boleh mengakibatkan mereka didakwa di mahkamah.
"Selain itu, kerajaan mesti membuat semakan kehakiman segera ke atas perintah lanjutan tahanan anak-anak ini kerana ada kemungkinan permohonan JKM kepada mahkamah untuk lanjutkan tahanan anak-anak ini dibuat menggunakan maklumat yang diambil secara menipu, memaksa dan memperdaya ibu bapa kanak-kanak terbabit," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar GPAAK di Putrajaya pada Ahad.
Dalam pada itu, Tun Faisal memaklumkan, tuntutan lain adalah kerajaan perlu meminta Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi dan Kesaksamaan Gender Parlimen untuk menyiasat Ketua Polis Negara serta Ketua Pengarah JKM.
Selain itu, katanya, kerajaan mesti memaklumkan ibu bapa tentang lokasi anak-anak mereka dan membenarkan sebarang pertemuan; memberi akses kepada media dan GPAAK untuk melihat keadaan golongan terbabit di pusat tahanan JKM serta menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat Op Global yang kelihatan bercelaru.
"Kerajaan juga digesa menyiasat latar belakang dan kredibiliti pemberi maklumat kepada polis seperti Pusat Kajian Ajaran Sesat Malaysia (Pukas) serta wanita yang dikatakan bekas ahli GISBH.
"Apa-apa kenyataan berkaitan GISBH yang tidak bersandarkan fakta, mengarut, menambah fitnah dan memalukan mereka mesti dihentikan.
"GPAAK juga menuntut Ketua Polis Negara, Pengarah JAIS dan Mufti Perlis untuk bertanggungjawab serta meletak jawatan. Begitu juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!