30 keluarga Orang Asli Sungai Siput terputus hubungan akibat banjir

Mohd Zolkafly (kanan) menyantuni mangsa banjir yang ditempatkan di PPS SK Lasah, Sungai Siput semasa tinjauannya pada Ahad.
Mohd Zolkafly (kanan) menyantuni mangsa banjir yang ditempatkan di PPS SK Lasah, Sungai Siput semasa tinjauannya pada Ahad.
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Hampir 30 keluarga di dua perkampungan masyarakat Orang Asli di sini terputus hubungan susulan banjir yang melanda kawasan itu pada pagi Ahad.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, kesemua mangsa dianggarkan lebih 100 orang itu masing-masing dari Kampung Orang Asli Jong dan Kampung Orang Asli Chenein.

Menurutnya, proses pemindahan mangsa ke pusat pemindahan sementara (PPS) Pusat Sehenti Orang Asli (OAOSC) Bawong mengalami sedikit kesukaran kerana laluan masuk ke kampung itu turut dinaiki air.

"Mereka ini telah terputus hubungan dengan pihak luar. Tidak boleh keluar dan bantuan untuk masuk juga sedikit sukar.

"Jadi buat sementara waktu ini, mereka menggunakan dewan kampung, namun saya dimaklumkan keadaan dan kemudahan di dewan tersebut serba kekurangan," katanya kepada pemberita ketika meninjau keadaan banjir di sini pada Ahad.

Banjir turut mengakibatkan beberapa laluan termasuk ke perkampungan Orang Asli yang terjejas dinaiki air menyebabkan proses pemindahan mangsa mengalami sedikit kesukaran.
Banjir turut mengakibatkan beberapa laluan termasuk ke perkampungan Orang Asli yang terjejas dinaiki air menyebabkan proses pemindahan mangsa mengalami sedikit kesukaran.

Mohd Zolkafly yang juga Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak berkata, satu pelan tindakan sedang diatur bersama jabatan dan agensi terlibat termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan penduduk Orang Asli yang terjejas banjir mendapat bantuan sewajarnya.

"Buat masa ini paling penting adalah memastikan semua mangsa ini mendapat bekalan makanan manakala bantuan-bantuan lain akan diusahakan secepatnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian melaporkan, hujan lebat dan berterusan selama hampir 12 jam sejak jam 6.30 petang pada Sabtu, mengakibatkan puluhan keluarga di Kampung Lasah, Kampung Lintang, Kampung Orang Asli Jong dan Kampung Orang Asli Chenein terperangkap akibat banjir.

Setakat jam 6 petang, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan, 34 keluarga membabitkan 96 mangsa dari Kampung Lasah dan Kampung Tok Sirat telah selamat dipindahkan ke PPS SK Lasah.

Proses pemindahan dan dokumentasi masih dilakukan bagi mangsa banjir di kawasan lain.

Perkembangan terbaharu itu menjadikan keseluruhan mangsa yang ditempatkan di PPS di seluruh negeri ini meningkat kepada 268 orang membabitkan 85 keluarga.

Mangsa banjir di daerah Kerian masih kekal iaitu seramai 71 orang daripada 20 keluarga ditempatkan di PPS SK Changkat Lobak manakala di PPS SK Parit Haji Aman, menempatkan 65 orang daripada 20 keluarga.

PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Idris Shah II di daerah Hulu Perak pula menempatkan 36 orang daripada 11 keluarga selepas kediaman mereka di Kampung Air Panas dinaiki banjir.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!