Hujan tidak jejas kehangatan kayuhan

Peserta-peserta bersemangat sebelum memulakan kayuhan RHB LEKAS Highway Ride 2024
Peserta-peserta bersemangat sebelum memulakan kayuhan RHB LEKAS Highway Ride 2024
A
A
A

CUACA hujan tidak menjejaskan kehangatan edisi kesembilan RHB LEKAS Highway Ride 2024 apabila lebih 6,300 pelumba basikal dari 30 negara ‘membanjiri’ Plaza Tol Kajang Selatan pada malam tadi untuk mengambil bahagian dalam acara berbasikal tersebut.

Penganjuran kali ini juga mencipta dua rekod baharu Malaysia Book of Records (MBR) iaitu pertama, penyertaan terbesar dalam perlumbaan berbasikal pada waktu malam di lebuhraya dan kedua, jarak terpanjang perlumbaan berbasikal malam di lebuhraya iaitu sejauh 105 kilometer (km).

Wakil Malaysia Book of Records menyampaikan sijil pengiktirafan itu kepada Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB Banking Group, Datuk Mohd Rashid Mohamad dan Ketua Pegawai Eksekutif LEKAS, Wan Salwani Wan Yusoff.

Sementara itu, Mohd Rashid berkata, pihaknya cukup teruja dengan sambutan hangat setiap peserta yang bersemangat untuk menyertai kayuhan biarpun dalam keadaan hujan.

"Kami sangat gembira dengan kehadiran luar biasa pada edisi kali ini. Ia adalah bukti komitmen kami untuk menggalakkan pembabitan semua pihak mengamalkan gaya hidup aktif. Kami sangat teruja melihat komuniti berbasikal berkembang setiap tahun.

Hujan tidak memudarkan semangat peserta-peserta menjayakan kayuhan RHB LEKAS Highway Ride 2024.
Hujan tidak memudarkan semangat peserta-peserta menjayakan kayuhan RHB LEKAS Highway Ride 2024.

"Ini bukan kali pertama kita berdepan situasi hujan seperti ini. Pernah juga beberapa kali kita menganjurkan acara ini dalam keadaan hujan tetapi masih dapat berjalan dengan lancar.

"Saya percaya semua pihak akan menanti-nantikan penganjuran edisi ke-10. Jika diperhatikan sepanjang sembilan edisi setakat ini, setiap tahun ada perubahan dan penambahbaikan. Apa yang penting bagi kami adalah soal keselamatan adalah perkara paling menjadi keutamaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebagai rekod, RHB LEKAS Highway Ride 2024 adalah hasil kerjasama antara RHB Banking Group dan Lebuhraya Kajang Seremban Sdn Bhd (LEKAS), anak syarikat IJM Corporation Berhad.

RHB LEKAS Highway Ride 2024 menawarkan pelbagai kategori untuk memenuhi keperluan peminat sukan berbasikal dari semua peringkat dan usia.

Ini termasuk kategori kompetitif 105km serta 78km manakala kategori Fun Ride sejauh 17km dan 12km memberi peluang kepada pendatang baru, keluarga dan pelumba basikal muda untuk merasai keseronokan berbasikal di lebuh raya pada waktu malam dalam suasana yang lebih santai.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan & Pengarah Urusan IJM Corporation Berhad, Datuk Lee Chun Fai berkata, RHB LEKAS Highway Ride bukan sekadar acara berbasikal, ia adalah perayaan perpaduan, kepelbagaian dan semangat komuniti.

"Dengan lebih 6,300 pelumba basikal dari pelbagai latar belakang, acara yang mencipta dua rekod tahun ini mencerminkan komitmen kami dalam mempromosikan gaya hidup sihat.

"Sebagai penaja tempat acara, kami memastikan lebuh raya ditutup sepenuhnya dengan pencahayaan lampu LED untuk kayuhan di sebelah malam yang selamat." katanya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!