Insentif khas kepada parti kemuka 30 peratus calon wanita - Wanita PH
SHAH ALAM - Kerajaan disaran memperuntukkan insentif khas kepada mana-mana parti yang berjaya mengemukakan minimum sebanyak 30 peratus wanita sebagai calon.
Ketua Wanita Pakatan Harapan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, meskipun ia memerlukan proses dan libat urus yang akan mengambil sedikit masa, namun perkara itu sudah terlalu lama untuk dimulakan.
Menurutnya, ia boleh dizahirkan dengan serius terhadap usaha berkenaan di peringkat kerajaan kepada parti-parti yang komited kepada 30 peratus calon wanita.
“Segera pinda Akta Pilihan Raya dan Peraturan Pilihan Raya untuk memasukkan peruntukan peraturan minima 30 peratus wanita sebagai calon.
“Sama ada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) atau Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Undang-Undang) boleh membawa cadangan ini dengan membentangkan Memorandum Jemaah Menteri atau Nota Jemaah Menteri di Mesyuarat Kabinet yang akan datang,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Ahad.
Ahli Parlimen Sepang itu telah memberikan pandangan berkenaan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!