Tito Mboweni, pemimpin anti-aparteid meninggal dunia
JOHANNESBURG - Tito Mboweni, bekas aktivis anti-aparteid Afrika Selatan dan pembuat dasar ekonomi berpengaruh, meninggal dunia pada usia 65 tahun selepas mengalami sakit yang singkat, umum Presiden Cyril Ramaphosa lewat Sabtu.
"Kita telah kehilangan seorang pemimpin dan rakan seperjuangan yang telah berkhidmat kepada negara kita sebagai aktivis, inovator dasar ekonomi dan juara hak pekerja,” kata Presiden Cyril Ramaphosa dalam satu kenyataan lewat Sabtu, menurut Agensi Anadolu.
Mboweni, yang merupakan gabenor bank pusat kulit hitam pertama Afrika Selatan dari 1999 hingga 2009 dan kemudian Menteri Kewangan dari 2018 hingga 2021 di bawah pemerintahan Ramaphosa, memainkan peranan penting dalam pembaharuan fiskal dan transformasi ekonomi.
Beliau juga merupakan Menteri Buruh demokratik pertama Afrika Selatan dari 1994 hingga 1999 dalam Kabinet pengasas Presiden Nelson Mandela.
Pemergiannya pada usia 65 tahun mengejutkan ramai, memandangkan kecergasan Mboweni, penglibatan yang bertenaga dan mesra dengan rakyat Afrika Selatan, tambah Ramaphosa.
"Sebagai Gabenor dan Menteri Kewangan, beliau memberi tumpuan tajam kepada disiplin fiskal dan transformasi ekonomi,” kata presiden.
Ramaphosa turut menekankan bahawa Mboweni menonjolkan dirinya dalam pelbagai peranan strategik di sektor swasta dan menjadi pembawa panji ekonomi Afrika Selatan serta negara membangun dalam forum global. - Bernama/Anadolu Agency
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!