Pengawal keselamatan maut dihempap pokok tumbang

Mangsa maut akibat dihempap pokok tumbang dalam kejadian hujan lebat dan angin kencang di Kampung Bandar Hilir, Sik, Kedah.
Mangsa maut akibat dihempap pokok tumbang dalam kejadian hujan lebat dan angin kencang di Kampung Bandar Hilir, Sik, Kedah.
A
A
A

SIK - Seorang pengawal keselamatan maut dihempap pokok tumbang selepas menziarahi ibu dalam kejadian di Kampung Bandar Hilir, di sini, petang Ahad.

Mangsa, Mohd Rizal Aziz, 47, yang bertugas di sebuah sekolah dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Bandar Hilir selepas menjenguk ibunya yang sakit di Kampung Tanjung Besar yang jaraknya kira-kira tiga kilometer.

Difahamkan, sebatang pokok dipercayai tumbang secara tiba-tiba ketika kejadian dan menghempap mangsa yang sedang menunggang motosikal di kawasan berkenaan.

Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 5.58 petang dan bergegas ke lokasi kejadian.

"Setibanya di lokasi, terdapat seorang mangsa tersepit antara motosikal dan dahan pokok tumbang. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Seramai 20 petugas termasuk anggota bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta sukarelawan Khidmat Malaysia membantu memotong dahan pokok bagi mengeluarkan mangsa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman (tiga dari kiri) hadir ke lokasi kejadian.
Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman (tiga dari kiri) hadir ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, pasukan penyelamat berdepan kesukaran memotong dahan pokok tumbang berikutan jenis kayu yang sangat keras.

"Sewaktu kejadian, hujan lebat dan berangin. Pasukan bomba menggunakan gergaji berantai untuk memotong sisa pokok berkenaan dan mengeluarkan mangsa.

"Mangsa kemudiannya berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada PDRM. Operasi tamat pada jam 7.13 malam," katanya.

Kejadian berlaku ketika hujan lebat dan angin kencang.
Kejadian berlaku ketika hujan lebat dan angin kencang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintenden Abdull Razak Osman berkata, berlaku ribut sewaktu hujan lebat kira-kira jam 6 petang di beberapa kawasan di daerah ini dan dalam kejadian itu, mangsa dihempap pokok tumbang.

Mangsa disahkan meninggal dunia dan mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sik untuk bedah siasat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!